PELAKON Jaa Suzuran hanya mampu meluahkan perasaan terkejut apabila abang dan kakak iparnya yang juga penyanyi Eda Ezrin terbabit dalam kes membabitkan bahan terlarang di Thailand. Jaa atau Mohammad Faizal Ahmad, 31, berkata, dia tiada sebarang komen tentang kes membabitkan ahli keluarganya memandangkan tiada di tempat kejadian. “Terkejut! Saya pun tahu secara tiba-tiba ada ahli keluarga kena tangkap di sana.
Saya tak tahu nak komen macam mana. Saya pun tak pergi ke sana. Lagipun saya nak cakap lebih-lebih pun saya tiada di tempat kejadian,” katanya. Jaa berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas sidang media filem Soloz Game Of Life di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor pada malam Isnin. Dalam pada itu, Jaa memberitahu dia kekal tenang dan sabar dengan kejadian menimpa keluarganya malah tidak melayani sebarang pertanyaan di media sosial.
“Saya tak salahkan warganet sebab mereka memang nak tahu cerita sebenar. Tapi saya cuma tahan dan bersabar sahaja, nak marah-marah pun tiada guna,” ujarnya. Pada 14 Januari lalu, Eda, suami dan empat rakan lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua kesalahan iaitu mengambil bahan terlarang dan memiliki 6,059 biji pil kuda. Kesemua tertuduh mengaku mengambil bahan terlarang di hadapan Hakim Yuan Khao Kham, namun mereka tidak mengaku bersalah memiliki 6,059 biji pil kuda semasa ditahan di sebuah hotel di Golok pada 1 November lalu.
Sementara itu dua rakan Eda iaitu Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memasuki Thailand tanpa dokumen rasmi dan menduduki negara ini secara tidak sah. Berkaitan tuduhan miliki pil kuda, hakim meminta kesemua tertuduh mengemukakan bukti dan saksi berhubung perkara tersebut. Kesemua tertuduh diwakili oleh tiga peguam yang telah dilantik dan mahkamah menetapkan 11, 13 dan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Keputusan berkaitan kes tersebut dijangka akan diputuskan pada awal Mac depan. Dalam perkembangan lain, Jaa merupakan salah seorang pelakon dalam filem Soloz Game Of Life yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 23 Januari depan. Selain Jaa, pelakon lain yang turut membarisi filem arahan pengarah Syafiq Yusof ini ialah Hun Haqeem, Ikmal Amry, Syafiq Naswip, Hafeez Mikail, Noki K-Clique, Imran Aqil dan ramai lagi.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.