Lelaki OKU yang dikasari di pasar pagi di Kemaman tempoh hari kini berada di Mekah bagi menunaikan umrah berharap agar diberi kesihatan yang baik apabila pulang ke Malaysia kelak. Menerusi perkongsian video di Facebook syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, dapat dilihat yang lelaki kelainan upaya (OKU) tersebut bersama dua orang anaknya sudah tiba di Tanah Suci.
Difahamkan, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau dikenali sebagai Paijang hadir menunaikan umrah bersama dua orang anaknya, Nurul Farhana, 21, dan Ahmad Faris, 10. Dia dan dua orang cahaya matanya telah berangkat ke sana pada Isnin jam 2.30 pagi dan sudah sampai ke Mekah. Sebelum ini lelaki OKU itu memaklumkan mahu berdoa di Tanah Suci agar kesihatannya bertambah baik seusai pulang dari umrah kelak.
“Ini kali pertama saya berpeluang untuk menunaikan umrah dan kali pertama juga melalui pengalaman menjejak kaki ke luar negara. Saya harap dapat diberikan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan umrah. Saya juga mahu berdoa di tanah suci agar ALLAH kurniakan kesihatan yang bertambah baik kepada saya dan ahli keluarga saya. Semoga saya dan anak-anak dikurniakan umrah yang mabrur dan semoga ALLAH SWT kabulkan segala doa saya,” katanya.
Bapa kepada lima anak ini mengakui cukup teruja apabila ditaja Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd bagi menunaikan umrah memandangkan ia kali pertama melakukan ibadah tersebut. Terdahulu, kisah Paijang yang dipukul oleh peniaga di pasar pagi Kemaman tular di media sosial selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah gerai. Susulan daripada itu, dia telah dipukul, diheret dan dicampak mi goreng ke muka sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
Sumber: Omm. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.