Adik kepada pelakon, Que Haidar iaitu Tengku Dayangku Nazira tampil memberi respon terhadap kenyataan bekas kakak ipar, Linda Jasmine berhubung punca perpisahan pasangan artis itu. Menerusi perkongsian di TikTok Story, Dayangku memberi kenyataan balas yang seolah‑olah menegur Linda kerana didakwa melemparkan fitnah terhadap keluarganya.
Dalam responsnya, Dayangku berkata dia enggan membuka aib bekas kakak iparnya itu kerana masih ada rasa hormat terhadap Que. Malah, menurut Dayangku, jika tidak mengetahui kisah sebenar sebaiknya jangan membuat sebarang spekulasi. “Saya malas nak buka aib orang tapi kalau saya dah buka, awak malu sampai tak keluar nanti. Malu nak jumpa media.
Sabar orang ada limit jadi berpada-pada buat cerita tu. Saya sabar sebab abang saja, kalau ikutkan hati dah lama tersebar aib awak tu. Jangan risau, orang tidak bodoh. Cepat atau lambat semua orang akan tahu siapa yang jahat. Kalau tak tahu cerita sebenar, lebih baik diam daripada menyakiti orang lain dengan fitnah.”
Dalam perkongsian terbaharu, Dayangku meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan Linda. Dia turut menegaskan bahawa keluarganya telah melayan Linda dengan baik sepanjang tempoh dia menjadi kakak ipar mereka. “Yang sebarkan fitnah, bersedialah untuk jawab di akhirat, Hati-hati ya semua. Kami sekeluarga layan dia sebaik-baiknya, tak sangka difitnah sebegini. Terima Kasih bekas kakak ipar atas fitnah yang disebar. Semoga Allah membalas.”
Sebelum ini, isu perceraian antara Que dan Linda kembali menjadi perhatian selepas Linda mendakwa perpisahan mereka terjadi kerana mahu melindungi anak-anak daripada kejahatan.
Kenyataan yang tidak diperincikan dengan lebih jelas itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan ahli keluarga mereka.
Sumber: TikTok
