PENYANYI veteran Datuk ND Lala menegaskan kasih sayang terhadap empat orang anaknya tidak akan pernah berubah walaupun pernah berdepan konflik keluarga sebelum ini. ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 65, berkata hubungan antara ibu bapa dan anak adalah sesuatu yang kekal dan tidak boleh dipisahkan hanya disebabkan perceraian. “Anak-anak adalah darah daging saya. Keadaan itu tidak berubah. Alhamdulillah, secara peribadinya, anak-anak semua adalah anak-anak saya dan kekal begitu selamanya.
Anak-anak ini lahir daripada kasih sayang kita. Mereka sebahagian daripada diri kita. Mana-mana ibu bapa pun akan menyayangi anak tanpa syarat, mengharapkan dan mendoakan mereka tanpa batas,” katanya kepada mStar. ND Lala berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Dalam pada itu, ND Lala memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai hal peribadi demi menjaga hati semua pihak. Katanya, dia kini mahu lebih memberi tumpuan terhadap kerjaya seni berbanding membuka ruang kepada orang ramai mentafsir kisah peribadinya. “Sebenarnya saya membuat keputusan untuk tidak memberi respons terhadap hal-hal peribadi supaya tidak menyinggung atau melukakan mana-mana pihak.
Kalau orang mahu mentafsir, itu hak masing-masing. Tetapi bagi saya, saya tidak akan bercakap tentang sesiapa,” ujarnya. Untuk rekod, ND Lala pernah mendirikan rumah tangga dengan Fauziah Sarman pada tahun 1989 sebelum bercerai pada 2 Ogos 2023. Perceraian mereka didakwa berpunca daripada kehadiran orang ketiga yang kini dipercayai merupakan isteri ND Lala. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata termasuk penyanyi Shila Amzah dan tiga lagi adiknya iaitu Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada. Pada 22 November 2025, Fauziah kembali mendirikan rumah tangga dengan Zainal Abidin Muhammad Salleh.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.
