PENERBIT drama, Datuk A Aida berlapang dada mendengar teguran bekas suaminya iaitu Ameng Spring yang menjawab soalan netizen berhubung penampilan anak mereka, Azeva apabila tidak mengenakan hijab. Bagi A Aida, 56, sebagai seorang bapa, Ameng sudah menjalankan tanggungjawabnya untuk menegur Azeva yang kini semakin mendapat perhatian selepas menyertai program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Biarpun begitu, A Aida juga percaya Azeva, 25, sudah cukup dewasa dan tahu membuat pilihan dalam soal penampilan. “Dia (Ameng) berhak menegur dan bagus dia menegur. Ameng sudah menjalankan tanggungjawab sebagai bapa. Kita doakan yang baik-baik buat Azeva.
Sebagai ibu, saya pun mahukan yang terbaik buatnya. Namun, Azeva pun sudah besar dan tahu tentang penampilannya. Mungkin hidayah belum sampai,” katanya ketika dihubungi pada Khamis. A Aida berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan Ameng yang mengatakan dia sudah pun menegur Azeva supaya menutup aurat.
Ameng membuat kenyataan itu semasa sesi siaran langsung di media sosialnya selain memberi komen penampilan dan pemilihan lagu Azeva pada TTMM2 Ahad lalu tidak begitu sesuai sehingga dia nyaris tersingir. Dalam pada itu, A Aida juga menasihati orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anaknya.
“Don’t judge a book by its cover. Walaupun tidak memakai tudung, Azeva tidak pernah meninggalkan solat,” ujarnya. Sementara itu A Aida turut menjawab kenyataan Ameng berhubung persembahan Azeva yang kurang menyerlah kerana imej dan pemilihan karya tidak sesuai ketika membawakan lagu berjudul Sial (nyanyian Mahalini) pada konsert minggu ketujuh TTMM2.
Sebagai ‘manager’ dalam program tersebut, baginya Azeva telah memberi satu persembahan terbaik memandang anaknya itu hanya menjalani tempoh latihan singkat sebelum malam konsert. “Semua orang tahu lagu itu susah. Penyanyi profesional pun ramai tak boleh bawa lagu itu. Azeva tidak banyak berlatih kerana cuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha. Jadi apabila dia dapat menyanyi itu sudah cukup bagus.
Persembahan Azeva pada malam itu tidaklah memalukan. Saya bangga sebagai seorang manager. Penonton dapat rasa apa yang dia sampaikan,” jelasnya. Pada masa sama A Aida memberitahu dia cukup prihatin terhadap penampilan anaknya termasuk dari sudut persembahan. “Saya ambil pereka fesyen yang dikenali. Semua orang yang bagus saya upah untuk persembahan Azeva.
Apabila diberi peluang sertai program ini, mestilah saya sanggup buat apa sahaya untuk anak. Biarpun berhabis duit, saya tidak kisah. Semuanya mahukan yang terbaik,’ jelasnya. Untuk rekod, Azeva atau nama sebanarnya Wan Azeva Natassha merupakan anak kedua hasil perkahwinan A Aida bersama Ameng.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.
