PELAKON Datin Nelydia Senrose selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada Ahad. Berita gembira itu dikongsikan suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada petang Isnin. Menerusi perkongsian tersebut, Hafez turut memuat naik foto memperlihatkan dia menemani Nelydia di bilik bersalin sambil memeluk bayi sulung mereka sejurus selepas kelahiran.
Malah, Hafez berkata dia menyaksikan sendiri ketabahan isterinya berdepan detik melahirkan anak pertama mereka. “26 Julai 2026, saya menyaksikan wanita paling kuat dan paling luar biasa yang pernah saya kenal. Melihat awak berjuang menahan setiap kesakitan dan melalui setiap cabaran demi membawa anak lelaki kita lahir dengan selamat adalah satu momen yang akan saya simpan dalam hati sepanjang hidup,” tulisnya.
Dalam masa sama, Hafez menyifatkan detik melihat Nelydia bergelar seorang ibu sebagai pengalaman paling indah dalam hidupnya. Malah dia turut berterima kasih atas segala pengorbanan isterinya sepanjang proses kehamilan dan kelahiran sehingga melengkapkan keluarga kecil mereka. “Melihat awak bergelar seorang ibu adalah perkara paling indah yang pernah saya saksikan.
Terima kasih atas setiap pengorbanan yang sayang lakukan, setiap titisan air mata, setiap kekuatan yang awak kerahkan dan setiap degupan jantung yang membawa anak lelaki kita selamat ke dalam pelukan kita. Sayang bukan sahaja melahirkan seorang bayi lelaki yang sempurna, tetapi juga memberikan saya hadiah paling bermakna yang pernah saya terima. Hari ini, awak telah melengkapkan keluarga kecil kita,” luahnya.
Dalam pada itu, Hafez turut meluahkan rasa syukur apabila Allah memakbulkan doa mereka dengan mengurniakan seorang bayi lelaki yang sihat serta memelihara keselamatan isteri dan anaknya. Malah dia berjanji akan terus menyayangi serta melindungi Nelydia dan akan sentiasa berada di sisi dalam apa juga keadaan.
“Terima kasih kerana menjadikan saya seorang suami yang paling berbangga, dan kini seorang ayah yang paling bertuah. Saya berjanji akan menghabiskan sisa hidupku untuk menyayangi sayang, melindungi sayang dan sentiasa berada di sisi sayang dalam setiap detik bahagia mahupun saat-saat yang mencabar.
“Anak lelaki kita sangat bertuah kerana memiliki sayang sebagai ibunya, dan saya jauh lebih bertuah kerana dapat memanggil awak sebagai isteriku,” ujarnya. Untuk rekod, Nelydia atau Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 32, mengumumkan berita kehamilannya pada April lalu sempena menyambut ulang tahun perkahwinan yang ketujuh.
Nelydia memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga atas rezeki yang dikurniakan dan menganggap kehadiran kandungan tersebut sebagai hadiah paling bermakna dalam hidup mereka. Nelydia dan Mohd Hafez sah bergelar pasangan suami isteri pada 6 April 2019.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.
