Penyanyi Shila Amzah memberitahu dia dan suaminya, pempengaruh Ubai sedang merancang untuk berhijrah ke China bersama anak-anak pada penghujung tahun hadapan jika segala perancangan kerjayanya berjalan seperti yang disasarkan. Menurut Shila, keputusan itu dipertimbangkan memandangkan dia kini semakin aktif menerima tawaran di negara tersebut, selain bakal menandatangani satu lagi kontrak jangka panjang yang masih belum boleh didedahkan.
“Saya dan Ubai memang ada terfikir mengenai perkara itu. Sasaran kami, kalau segala-galanya berjalan lancar dan kami berjaya capai apa yang dirancang, mungkin saya tak menolak untuk berhijrah semula ke China. Kami juga bercadang untuk membawa anak-anak bersama. Sekarang ini setiap kali saya ke sana, saya perlu tinggalkan mereka selama tiga atau empat hari. Bila balik pula, hanya sempat bersama mereka dua atau tiga hari.
Saya juga bakal menandatangani satu lagi kontrak, tapi belum boleh dedahkan tempoh atau butirannya. Apa yang boleh saya katakan, kontrak itu melibatkan tempoh yang agak lama. Kalau ulang-alik Malaysia dan China, penat juga,” katanya. Shila berkongsi perkara itu ketika sidang media Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama di The Coffee Bean & Tea Leaf Sierra Fresco, Puchong pada Rabu.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Memori Tercipta itu menegaskan penghijrahan itu bukan disebabkan siapa yang lebih menghargainya sebaliknya dia hanya mengikut ke mana rezekinya. “Saya pernah tinggal di China dari tahun 2012 selama lebih kurang lapan tahun. Selepas itu saya berpindah semula ke Malaysia dan kemudian kita berdepan pandemik Covid-19. Pada waktu itu saya rasa rezeki tak ada lagi. Sekarang ini bukan soal siapa lebih menghargai saya. Bagi saya, di mana ada rezeki, di situlah saya akan pergi. Itu tidak bermaksud saya melupakan peminat di Malaysia. Sebab itulah saya masih menghasilkan album Melayu dan mengadakan konsert di sini,” ujarnya.
Sumber: Gempak. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.
