PASANGAN selebriti, Neelofa dan PU Riz menerima kecaman susulan pembatalan acara keagamaan anjuran mereka yang dijadualkan berlangsung esok di Rimbunan @ Forest City Golf Hotel, Johor. Kontroversi tercetus apabila peserta mendakwa tidak ditawarkan pemulangan wang tiket berikutan pembatalan acara itu. Sebaliknya, mereka diberikan beberapa pilihan penebusan dalam bentuk barangan seperti tiket TGV, pakaian dan kredit kedai.
Rata-rata warganet tidak berpuas hati dan mendesak pihak penganjur memulangkan wang tiket dalam bentuk bayaran tunai, bukannya menggantikan dengan barangan. Mereka turut mempersoalkan alasan pembatalan acara tersebut, memandangkan ia dijadualkan berlangsung di kawasan tertutup. Malah, ada juga yang menyarankan peserta membuat laporan kepada pihak berkuasa jika tidak berpuas hati dengan kaedah penyelesaian yang ditawarkan.
“Betul ke acara batal dan tak boleh dapat bayaran semula? Saya dan rakan-rakan memilih untuk pembayaran balik dan tidak mahu memilih tiga pilihan yang pihak Nunha berikan. Akad jual beli pun kena ada persetujuan daripada kedua-dua pihak. Mana boleh bagi pilihan yang sebelah pihak tak setuju. Orang agama tak akan tak tahu benda ini.
“Alasan jerebu padahal tak dapat sambutan? Siapa yang sertai itu boleh laporkan pada tribunal pengguna. Lain kali jangan taksub sangat dengan geng-geng ini,” antara komen warganet. Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di media sosial, pihak penganjur memaklumkan keputusan membatalkan acara itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan susulan keadaan jerebu serta bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang meningkat.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala kesulitan, kekecewaan dan kebimbangan yang timbul susulan situasi ini, khususnya kepada mereka yang telah membuat persiapan untuk menghadiri acara berkenaan. Kami memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan semua pemegang tiket yang terjejas menerima bantuan serta sokongan sewajarnya.
Pasukan kami telah mula menghubungi pemegang tiket bagi memaklumkan mengenai kaedah penebusan dan pilihan pertukaran yang tersedia. Kami amat menghargai kesabaran, pemahaman serta sokongan berterusan anda sepanjang kami berusaha menyelesaikan perkara ini dengan penuh tanggungjawab,” menurut kenyataan tersebut. Difahamkan, harga tiket bagi acara berkenaan ditawarkan pada harga antara RM150 hingga RM499.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.
