Siapa yang tidak tahu akan jenama 7-Eleven? Di Malaysia sahaja terdapat lebih 2242 buah rangkaian cawangan kedai serbaneka ini setakat 31 Julai 2018. Beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu, 7-Eleven bagaikan penyelamat bagi semua bila mana pasaraya atau kedai runcit terdekat sudah tamat waktu operasinya.
Hampir kesemua barangan runcit dan harian dijual di sini – makanan, minuman, tiket tambah nilai telefon, bateri, tuala wanita dan bermacam lagi.Jadi, bagaimanakah jenama kedai serbaneka ternama dunia ini mendapat nama dan bagaimanakah wujudnya 7-Eleven?
Sejarah Awal. Sejarah awal penemuan 7-Eleven akan dijelaskan melalui rangka masa di bawah:
1927 – Kedai Serbaneka Pertama Di Dunia. ‘Uncle Johnny’ Jefferson Green, salah seorang pekerja di Southland Ice Company mula menjual susu, telur dan roti di salah satu daripada 16 dok ais di Dallas, Texas. Dengan izin daripada salah seorang pengarah Southland Ice Company, Joe. C. Thompson Jr., Uncle Johnny terus membekalkan barangan keperluan kepada penduduk setempat.
1933-1937 – Mula Berkembang. Dengan penjualan bir dan minuman keras, perihal kedai serbaneka tersebut mula berkembang dan tersebar luas. Kurang daripada sedekad, lokasi kedai yang menjual produk-produk baru bertambah tiga kali ganda. Kedai-kedai serbaneka ini kemudiannya diberi nama ‘Tote’m Store’.
1946-1963 – Nama Baru ‘7-Eleven’ Dan Mula Beroperasi 24/7. Nama bagi rangkaian kedai serbaneka ini telah ditukar kepada ‘7-Eleven’ yang menunjukkan waktu operasi baharu syarikat – 7 pagi hingga 11 malam, tujuh hari seminggu.
7-Eleven kemudian membuka cawangan baru di Florida, Maryland, Virginia dan Pennsylvania. Pada waktu ini, 7-Eleven juga menjual bahan api kepada pelanggan sejak penggunaan kereta semakin meningkat dan seterusnya membuka cawangannya yang ke-1000.
Sebuah 7-Eleven di Austin, Texas, yang berdekatan dengan sebuah universiti mula beroperasi sepanjang malam untuk memberi kemudahan kepada para pelajar. Idea ini mendapat sambutan hangat dan seterusnya kedai 24 jam mula dibuka di Las Vegas, Fort Worth dan Dallas.
1964-1969 – Menyertai Dunia Francais. 7-Eleven menyertai bisnes francais dengan membeli beberapa buah francais Speedee Mart di California. Syarikat ini telah menandatangani perjanjian pelesenan pertamanya dengan Garb-Ko, Inc. yang bertapak di Saginaw, Michigan, pada tahun 1968.
Pada tahun 1965, 7-Eleven memperkenalkan minuman Slurpee dan ‘coffee-to-go’ pertama di dunia. Dengan penerimaan yang sangat membanggakan daripada masyarakat, 7-Eleven membuka cawangan baru di Kanada, menjadikan jumlah keseluruhan kedai menjangkau 3500 buah.
1970-Kini – Konsep Layan Diri Diperkenalkan Dan Semakin Berkembang Ke Serata Dunia. 7-Eleven mula menawarkan servis layan diri kepada para pelanggan seperti pengisian petrol layan diri dan memperkenalkan mesin air soda layan diri yang pertama. Rakyat Amerika Syarikat juga diperkenalkan dengan minuman Big Gulp.
7-Eleven meneruskan pembukaan cawangan baru di beberapa lokasi antarabangsa, termasuklah Australia, Sweden, Taiwan, Hong Kong, Singapore, Guam, Malaysia dan Filipina. Dengan lebih 60,000 buah kedai serbaneka di seluruh dunia, 7-Eleven, kini diterajui oleh Joseph M. DePinto – seorang veteran tentera Amerika Syarikat, tekad meluaskan empayar mereka dengan terus menyediakan kehendak para pelanggan dengan motto “to continue innovating and delivering what the customers want, when and where they want it.”
Fakta Menarik
1. Semasa Slurpee mula diperkenalkan, minuman sejuk beku tersebut dikenali dengan nama ‘Icees’. Sehubungan dengan itu, frasa ‘BrainFreeze’ telah dicipta. 2. 7-Eleven adalah kedai serbaneka pertama yang menawarkan servis ATM. 3. 7-Eleven merupakan kedai serbaneka pertama yang menjual bahan api untuk kenderaan. 4. 7-Eleven yang pertama di Malaysia telah dibuka pada Oktober 1984 di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Sumber : Iamlejen
Tersentak Gelandangan Tak Pernah Rasa Makan Mcdonald. Sekali Dia Asyik Ulang Benda Yang Sama Setiap Kali Makan Sampai Buat Dia Sebak.
Mus memulakan satu usaha murni dengan belanja Uncle Rosli makan di McDonald’s. Setiap daripada kita semestinya ada niat dan cara tersendiri untuk berbakti kepada masyarakat terutama sekali golongan susah. Tidak terkecuali Mustaqim Hud, 23, yang bersimpati dengan nasib seorang lelaki berusia lebih separuh abad yang melakukan kerja-kerja mengutip tin dan besi buruk untuk dijual dan hasilkan dijadikan sumber pendapatan utama. Mesra disapa Mus, dia memulakan usaha murni ini dengan membelanja seorang lelaki yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Uncle Rosli makan di sebuah restoran makanan segera.
“Pakcik ni akan lalu lalang dekat kedai makan tempat saya kerja di Rantau Panjang, Klang, Selangor. Setiap malam dia akan ambil makanan di kedai saya sebab memang ada orang sponsor dan bayarkan makanan untuk dia. Boleh dikatakan saya orang paling rapat dengan dia sebab setiap hari dia datang kedai. Ada satu hari tu saya kesian tengok dia kutip tin tengah panas terik, jadi malam tu saya bawa dia belanja makan dekat McDonald’s. Saya ambil peluang ni untuk berborak dengannya, nak tahu kisah hidup dia sebab saya jenis cepat kesian dekat orang,” ujar Mus.
Graduan bidang Kejuruteraan Mekanikal itu mengakui dia tersentuh dan sedih melihat reaksi pakcik yang dikenalinya sejak lebih kurang dua bulan lalu ini sebaik sahaja dia menyuapkan hidangan ke mulut. Jelas bekas penuntut Politeknik Shah Alam ini, Uncle Rosli memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama dia merasai nikmat makan di restoran itu sepanjang hidupnya, membuatkan Mus berasa lebih simpati dengan nasib warga emas ini.
“Pakcik tu cakap dekat saya ni first time dia makan dekat sini. Selama ni dia takut nak masuk sebab anggap kedai ni orang kaya je boleh makan. Maksudnya orang ada duit saja boleh masuk sebab harga makanan sini dianggap mahal. Saya belikan bubur, kek, ice blended chocolate dan banyak lagi makanan dekat dia. Dia cakap ‘sedap, patutlah mahal‘. Setiap makanan dia makan tu semua dia akan cakap macam tu. Saya dapat rasakan memang jujur sangat reaksinya masa makan tu, tak ada berlakon langsung,” ujarnya lagi. Mus yang bekerja sebagai Penyelaras Bahan Masakan di sebuah restoran di Jalan Wan Hassan, Klang ini berkata Uncle Rosli juga menceritakan tentang kehidupannya yang tidak sama seperti orang lain.
Hidup dia memang agak daif. Nak pergi mana-mana pun guna basikal yang dia terjumpa dulu.
“Dekat McDonald’s kan tempat orang makan beramai-ramai. Jadi bila dia tengok sekeliling, pakcik ni ada luah cakap hidup dia tak sama dengan orang lain. Dalam tu kan orang bawa keluarga atau kawan-kawan jadi pakcik ni sedih sebab dia tak ada semua (kawan dan keluarga) tu. Nak makan pun kena cari duit sendiri,” katanya menceritakan semula luahan hati Uncle Rosli.
Menurut Mus lagi, Uncle Rosli juga pernah berkahwin namun tidak memiliki cahaya mata sepanjang perkahwinan dan jelasnya lagi dia sudah lama bercerai dan mula hidup sebatang kara sehingga kini. Kata Mus, dahulunya Uncle Rosli tinggal di bawah jambatan Klang, Selangor tetapi telah berpindah dan tinggal di sebuah pondok di dalam kebun berdekatan kedai makan tempatnya bekerja.
“Mungkin pakcik ni berpisah masa kewangan tak kukuh jadi start dari situ dia jadi gelandangan. Sekarang dia tinggal dan tidur dalam pondok di kebun dekat je dengan tempat saya kerja. Tuan tanah tu suruh dia sambil-sambil jaga kebun. Hidup dia memang agak daif. Nak pergi mana-mana pun guna basikal yang dia terjumpa dulu. Pendapatan pun tak tetap sebab dia cuma kutip apa saja yang boleh dijual. Biasanya dia jual besi dengan harga sekilo dapat RM6. Nak dapatkan sekilo pun makan masa berhari juga,” ujarnya lagi.
Menurut Mus, apa yang dilakukan ini mendapat perhatian di Instagram selepas ramai warganet yang memberikan komen positif dan berterima kasih dengan inisiatifnya. Mus juga menzahirkan rasa syukur dengan kehidupannya walaupun tidak mewah dan berharap lebih ramai lagi boleh berbuat sedemikian dalam usaha membantu golongan lebih memerlukan.
“Saya record masa tu sebagai kenangan saya nak simpan di media sosial saja tapi tak sangka ramai yang bagi respons positif dan puji apa saya dah buat ni. Sebenarnya, bila kita tengok depan mata kesusahan orang lain, baru kita sedar betapa beruntungnya hidup kita. Kalau kita rasa hidup kita susah, ramai lagi dekat luar sana yang mahu kehidupan macam kita. Bila saya tengok nasib pakcik ni, saya terus rasa tersentak. Tak kira apa ujian atau banyak mana rezeki kita dapat, kita kena reda. Ada orang lain tak pernah rasa pun nikmat macam kita dapat ni,” tambah Mus. Sumber: Mstar
Pemuda Dedah Selamat Nikah Lepas 3 Tahun Menabung Dalam 6 Tabung Buluh. Sekali Ini Penjelasan Pemuda Tersebut.
Paan menyimpan wang dalam tabung buluh selama tiga tahun setelah merancang untuk berkahwin. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Itulah yang ingin dibuktikan Muhammad Farhan Samsudin, 25, apabila dia mula menyimpan wang kertas RM10 dalam tabung setiap hari sejak 2019. Siapa sangka usahanya itu membuahkan hasil apabila jejaka yang mesra disapa Paan ini berjaya mengumpul lebih RM9,000 dalam masa tiga tahun.
Berkongsi kisahnya dengan mStar, Paan yang juga seorang guru subjek Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Permatang Buluh, Kedah berkata dia mula menyimpan wang tersebut setelah merancang untuk berkahwin dengan pasangannya, Nurul Hannani Patin, 24.
“Selain bekerja sebagai guru dekat sekolah, saya ada juga buat kerja lain. Saya ada banyak buat part-time sewa PA system, bawa Grabcar, Foodpanda, jadi security guard pun pernah. Kadang-kadang saya tak masukkan note RM10 setiap hari, saya kumpul cukup seminggu baru masukkan dalam tabung. Saya dah berkawan dengan isteri dari sekolah lagi sejak 11 tahun lepas. Kami dah lama plan nak kahwin. Jadi saya pun cakap dekat dia bagi masa tiga tahun nak kumpul duit,” katanya dalam nada teruja.
Berkat kesungguhan jejaka ini dalam menghalalkan hubungan mereka, dia berjaya mengumpul sejumlah wang dan telah mengadakan majlis akad nikahnya pada 2 Februari lalu. Berkongsi lebih lanjut mengenai kisahnya, anak jati Kulim, Kedah ini memiliki enam buah tabung DIY (do it yourself) yang penuh dengan wang yang dimasukkan sepanjang tempoh tiga tahun.
Sampai bulan dua penuh dah slot. Alhamdulillah, saya anggap ni rezeki kahwin saya.
“Alhamdulillah kami dah selesai akad nikah hari Rabu. Duit hasil daripada menabung saya guna untuk mas kahwin, RM1,500 dan selebihnya saya guna untuk hantaran dan kenduri. Ada juga saya guna duit simpanan lain bukan dari simpanan tabung kahwin untuk majlis. Baki RM4,000 duit tabung tu saya simpan untuk guna lepas kahwin,” katanya.
Menurut anak kedua daripada lima beradik ini, perkongsian rakaman video dirinya memecahkan tabung yang diperbuat daripada buluh di laman TikTok mendapat lebih satu juta tontonan. Rata-rata komen warganet memuji usaha Paan yang berjaya mengumpul duit tabungan kerana tidak semua orang mampu melakukannya, malah ada juga yang meminta tip daripada jejaka ini. Paan berkata niatnya berkongsi video tersebut hanya untuk memberi inspirasi kepada masyarakat di luar sana untuk turut menyimpan secara konsisten.
“Saya sebenarnya tak percaya saya mampu kumpul sebanyak tu. Memang agak struggle la nak simpan RM10 sehari. Banyak juga nilai tu kalau nak tarik daripada perbelanjaan setiap hari. Saya takut juga nak post, banyak juga yang bagi nasihat cakap hati-hati, tapi saya kongsi sebab saya nak bagi orang lain semangat, kita ni manusia kalau kita tak tahu hasilnya, kita tak akan mulakan sesuatu tu. Ada yang minta tip. Bagi saya kalau nak menabung ni kena disiplin tinggi. Kalau dah masukkan duit dalam tabung, jangan korek balik. Kalau boleh cari tabung buluh macam saya buat, susah dah nak keluarkan kalau tak belah guna parang,” seloroh Paan.
Tidak terhenti di situ, selepas videonya viral Paan telah menerima enam ‘job’ bagi menyediakan khidmat sewa PA system pada Sabtu (5 Februari) yang mana hari tersebut merupakan hari persandingannya. Jelasnya lagi, dia menerima tempahan untuk menyewa PA system di sekitar kawasan Perak sehingga ke Perlis.
“Saya tak sangka ramai nak menyewa dengan saya lepas video saya post tu. Enam job saya ambil semua walaupun saya sendiri pun nak pakai PA system sanding pada Sabtu. Tak pasal-pasal saya pula kena sewa dekat orang lain. Saya ambil je semua kerja tak tolak satu pun. Sampai bulan dua penuh dah slot. Alhamdulillah, saya anggap ni rezeki kahwin saya,” jelas jejaka ini. Sumber: Mstar
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.