Terlampau seronok di pantai sekali kaki sakit dan kebas. Ini perkongsian doktor jika terpijak landak laut.

Dr Mohamad Reza berkongsi rawatan awal sekiranya tertusuk duri landak laut. Katika ini ibu bapa pastinya mengambil kesempatan membawa anak-anak beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti sempena musim cuti sekolah. Sudah semestinya kawasan pantai menjadi antara lokasi pilihan kerana pelbagai aktiviti dapat dilakukan seperti berkelah, bermain sukan air dan mandi manda. Namun dalam keseronokan bermain di pantai, ada bahaya yang menanti.

Kehadiran spesies hidupan laut seperti landak laut di gigi air pantai adakalanya tidak disedari namun siapa sangka, sekali terkena tusukan durinya, bisa racunnnya mampu membuatkan seseorang tidak lena tidur. Terpanggil untuk mengingatkan orang ramai, seorang pengamal perubatan tampil berkongsi tip atau kaedah rawatan awal jika seseorang terkena duri tusukan haiwan tersebut. “Landak laut ni selalunya ia duduk di gigi air.

Bila kita berjalan, tak sedar kita terpijak. “Kalau terpijak landak laut, pertamanya jangan panik. Cabut semua duri-durinya. Kalau tajam, gunakan kain untuk cabut. Duri-duri yang lekat tu juga kita boleh cabut guna tweezer. Cabut satu-satu dan cuci.

Kesan tusukan duri landak laut. 

“Kemudian, kita rawat luka itu dengan iodin dan disinfectant (pembasmi kuman) seperti luka biasa. Boleh beli iodin dan disinfectant di farmasi,” ujar Dr Mohamad Reza Abd Rahman dari kumpulan Klinik Chenang menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok. Tambah Dr Mohamad Reza, kawasan luka juga boleh dicuci terlebih dahulu dengan sabun sehingga bersih sekiranya ketiadaan iodin atau pembasmi kuman.

“Duri-duri landak laut selalunya susah untuk nak dibuang, kita boleh biarkan saja dulu. Yang penting kita cuci dan rawat luka itu hari-hari. “Duri yang ada pada kulit kita akan keluar sendiri bila kulit baharu tumbuh. Tak perlu cabut satu-satu. Yang penting, kena jaga kebersihan luka tersebut,” ujarnya. Sesetengah landak laut, jika terpijak ia akan menyebabkan kesakitan yang sangat-sangat. Untuk kes seperti ini, boleh jumpa doktor terus.

DR MOHAMAD REZA

Tambah doktor ini, dalam waktu yang sama, kawasan luka juga perlu dipantau sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan, kemerahan atau bernanah. Kalau ada, terus ke klinik bertemu doktor. “Sesetengah landak laut, jika terpijak ia akan menyebabkan kesakitan yang sangat-sangat. Untuk kes seperti ini, boleh jumpa doktor terus untuk dapatkan ubat tahan sakit dan cuci luka,” katanya lagi.

Pengunjung yang beriadah di pantai dinasihatkan untuk berwaspada dibimbangi terpijak landak laut.

Dalam satu perkongsian yang lain, seorang penyelam memberikan tip yang mana mangsa perlu mengetuk kawasan yang terkena tusukan duri landak laut sehingga ia mengeluarkan darah. “Ia terasa seperti terkena karan (elektrik) kejap. Kebas dalam dua hingga tiga minit. Tapi selagi benda itu ada dalam kaki, sakitnya berterusan. Ketuk di kawasan terkena duri sampai keluar sikit dasar,” katanya. Menjengah ruangan komen, rata-ratanya menyatakan keterujaan kerana dapat mempelajari sesuatu yang baharu hasil perkongsian petua oleh doktor dan penyelam tersebut. Sumber: mstar.

Teringin Mahu Bela Si Bulus. Ketahui 5 Perkara Perlu Pertimbangkan Sebelum Bela Si Bulus.

Kucing berlainan jantina mempunyai sikap dan personaliti berbeza. Memelihara kucing yang sesuai dengan gaya hidup seseorang memerlukan beberapa pertimbangan termasuklah jenis jantina si bulus. Bagaimanapun ramai tidak mengambil berat tentang perkara ini padahal kucing jantan dan betina memiliki sifat dan personaliti berbeza yang dapat mempengaruhi pemiliknya. Jadi apa yang membezakan sifat kucing betina dan jantan?

1. Karakter fizikal

Satu perbezaan yang jelas di antara kucing jantan dan betina adalah berat badan mereka di mana kucing jantan lebih besar dan berat. Saiz kucing juga boleh disebabkan oleh faktor kacukan dan jenisnya.

2. Usia

Kucing betina diketahui dapat hidup lebih lama berbanding kucing jantan namun itu bukan perkara utama kerana umur kucing biasanya dipengaruhi pelbagai faktor termasuk penyakit, pemakanan dan kesihatannya.

3. Sikap dan personaliti

Kebiasaannya kucing jantan lebih bersikap terbuka dan ramah berbanding kucing betina meskipun tanggapan ini tidak sepenuhnya benar. Jika seseorang lebih gemarkan kucing yang tidak terlalu aktif, si bulus betina lebih sesuai. Pakar haiwan berpendapat, kucing jantan lebih ramah kerana ia tidak memiliki naluri keibuan dan membuatkan ia lebih mudah bergaul dengan kucing lain mahupun manusia. Bagaimanapun, ada juga kes di mana kucing betina lebih aktif dan ia boleh disebabkan pelbagai faktor seperti usia.

4. Perilaku antara kucing

Jika sudah ada kucing di rumah dan ingin membela yang lain – kucing betina mungkin lebih sesuai kerana perilakunya yang mudah menyesuaikan diri lebih cepat. Ini kerana kucing betina lebih cenderung bekerjasama dalam kelompok kucing manakala kucing jantan lebih bersikap teritorial terhadap kucing lain terutamanya kucing jantan. Kucing betina juga lebih selesa tinggal dalam ruang lebih kecil manakala kucing jantan lebih gemar berkeliaran dan tidak suka duduk terperap di sesuatu kawasan dalam tempoh lama.

5. Mencakar

Baik kucing jantan atau betina, mencakar adalah salah satu aktiviti kegemaran mereka namun kucing jantan lebih kerap melakukan perkara itu sebagai cara menanda wilayah mereka. Perilaku itu akan bertambah kerap jika terdapat kucing jantan lain yang cuba masuk ke dalam wilayahnya. Sumber: mstar

Exit mobile version