Mari kita hayati peristiwa nuzul al-Quran. AL-QURAN merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad yang menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannnya. Nuzul bererti turun atau berpindah manakala al-Quran bermakna bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh umat Islam. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jenayat, muamalat, munakahat dan sebagainya. Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril.
Dan ini ditegaskan melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan alQuran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” – [Surah Al Baqarah:185]. Al-Quran diturunkan oleh Allah pada 17 Ramadan yang disebut Malam Qadar. Diturunkan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus (30 juzuk) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi SAW. Firman Allah; “Sesungguhnya Kami(Allah) telah menurunkan al-Quran pada Malam Qadar” – Malam Qadar dikurniakan Allah pada setiap datangnya Bulan Ramadan. Kelebihan dan kemuliaannya adalah lebih baik dari 1,000 bulan. Ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran: “Malam Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan.”
Perbanyakkan bacaan al-Quran kerana amalan itu dapat menjadi penyelamat kepada manusia bagi setiap masalah.
Di antara keutamaan amalan orang yang berpuasa pada bulan Ramadan ini adalah membaca al-Quran. Baginda Nabi Muhammad SAW apabila masuk bulan Ramadan, Baginda memperbanyakkan membaca al-Quran bahkan khatam dalam bulan Ramadan. Sempena sambutan Nuzul al-Quran yang disambut hari ini (19 April 2022) marilah kita mendalami kepentingan membaca kitab suci ini dengan melihat kepada tiga perkara berikut:
Pertama: Hendaklah kita sentiasa membaca al-Quran dan mempelajarinya. Alhamdulillah di serata masjid dan surau kita lihat pada bulan Ramadan ini, kita mengadakan tadarus al-Quran iaitu mmembaca al-Quran secara berkumpulan. Pada malam terakhir insyaAllah khatamlah 30 juzuk. Bagusnya tadarus ini kerana kalau salah seorang ahlinya tersilap membaca maka yang lain dapat menegurnya dan membetulkannya. Ada sesetengah surau dan masjid mengadakan tadabbur iaitu membaca Al-Quran sambil membacakan maknanya. Pada kesempatan yang lain sepatutnya dengan al-Quran ini kita pelajari tafsirnya iaitu apa yang Allah maksudkan secara tersurat dan tersirat dengan terperinci, baharulah al-Quran akan menjadi petunjuk kepada umat manusia. Banyak ayat dalam al-Quran Allah menegaskan bahawa kitab itu menjadi petunjuk, tapi kalau kita tidak faham apa yang Allah sampaikan kepada kita bagaimana nak jadi petunjuk.
Tadarus al-Quran ialah amalan membaca kitab suci secara berkumpulan yang mampu membantu megesan kesilapan dan kelemahan pembacanya.
Kedua: Hendaklah kita mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran. Dalam satu riwayat diterangkan rahsia yang terkandung di sebalik kitab suci al-Quran dan tujuan membacanya. Ibn Mas’ud pernah mengatakan; “Demi Allah, tidaklah seseorang duduk membaca al-Quran melainkan akan ada yang bertambah dan berkurang. Orang yang membaca al-Quran, keimanan dan keyakinannya akan bertambah.” Kita memohon kepada Allah agar memberi ampunan kepada orang yang membaca al-Quran namun kurang mengamalkan isi kandungannya. Contohnya, al-Quran menyuruh supaya berbakti kepada ibu bapa: “Dan Tuhan mu telah perintahkan, supaya engkau menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
Si pembaca al-Quran dilaknat oleh al-Quran lantaran dia derhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Al-Quran selalu memerintahkan untuk berperilaku baik dan menjauhi dusta. Orang yang enggan mematuhi undang-undang dan peraturan yang terdapat di dalam al-Quran dianggap telah mendustakan al-Quran. Apatah lagi kalau mulut kita asyik bercakap bohong saja. Firman Allah; “Ingatlah, kutukan Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim.” Al-Quran melaknat orang yang berlaku zalim. Dan pada ayat lain al-Quran memerintah kita untuk menyambung tali silaturrahim.
Banyak ayat dalam al-Quran Allah menegaskan bahawa kitab itu menjadi petunjuk.
Di dalam al-Quran disebutkan; “Maka apakah sekiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan. Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka.” Jika yang membacakan ayat ini ternyata adalah orang yang suka memutuskan hubungan silaturahim maka dia adalah termasuk orang yang dilaknat oleh al-Quran. Jika apa yang dibaca tidak diamalkan dalam kehidupan seharian, maka apa gunanya dia membaca al-Quran? Oleh itulah kaum salaf soleh pernah menyatakan, bahawasanya pada hari kiamat nanti al-Quran akan datang menjadi pembawa syafaat atau sebaliknya menjadi saksi yang dapat menjerumuskan orang yang membacanya ke dalam api neraka. Nauzubillah.
Ketiga: Hendaklah kita menyebarluaskan ajaran al-Quran agar diri kita selamat daripada murka Allah, laknat dan kebencian-Nya. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat–malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkannya”. [Al-Tahrim:6]. Ini menunjukkan bahawa kewajipan kita sebagai seorang suami contohnya atau pemimpin dalam pelbagai peringkat hendaklah mengajarkan ajaran al-Quran, seperti fardu ain dan fardu kifayah kepada ahli keluarga kita. Kalau setiap ayah bersikap begitu dengan al-Quran maka tiadalah manusia yang jahil dan melakukan kemungkaran kepada Allah. Dek kerana ajaran Al-Quran itu tidak disampaikan maka lahirlah manusia yang hilang petunjuk ke jalan yang benar dan istiqamah di atas jalan yang lurus sebagaimana kita selalu mohon dalam surah al-Fatihah iaitu; “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.” Malangnya kita tak tau maknnaya, maksud dan kehendak Allah melalui kalamnya. Sumber, mstar