Pada minggu lalu, Indonesia dikejutkan dengan berita penyebaran sakit hepatitis akut sehingga meragut tiga nyawa kanak-kanak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut meminta masyarakat dunia agar berwaspada dengan penyakit misteri itu yang tidak diketahui penyebabnya dan diklasifikasikan sebagai kejadian luar biasa. Lebih membimbangkan setakat ini hanya kanak-kanak yang dijangkiti hepatitis akut misteri itu dan kesemua mangsa berusia dua tahun, lapan tahun dan 11 tahun turut negatif Covid-19. Malah kes penyakit itu di United Kingdom kesemuanya golongan kanak-kanak di bawah lima tahun. Ketika ini, WHO melaporkan terdapat 228 kes hepatitis akut misteri dilaporkan di beberapa buah negara seperti Sepanyol, Amerika Syarikat, Ireland dan beberapa negara di Asia.
Beberapa g3jala yang boleh mengesan sakit hepatitis akut misteri dalam kalangan kanak-kanak.
Healthline melaporkan hepatitis adalah penyakit keradangan hati yang mana penyebab utamanya adalah jangkitan virus. Namun, ia juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti autoimun, ubat-ubatan, racun dan alkohol. Hepatitis autoimun adalah penyakit yang terjadi ketika tubuh seseorang menghasilkan antibodi terhadap jaringan hati dan ia terdiri daripada lima kategori iaitu A, B, C, D dan E yang masing-masing disebabkan oleh jenis virus berbeza.
Memandangkan ketika ini, hepatitis akut misteri belum diketahui penyebabnya dan kes melibatkan kanak-kanak, ibu bapa disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar dapat mengesan gejalanya hepatitis akut misteri pada anak. Gejala biasa penyakit itu termasuk masalah kuning, mual, muntah, cirit-birit, sakit perut, kekejangan, lesu dan demam panas. Ibu bapa juga disarankan untuk melakukan beberapa langkah pencegahan meskipun penyakit hepatitis akut misteri itu belum dikesan di Malaysia.
Kerap mencuci tangan
Perkara ini dilakukan bagi mencegah penularan kuman atau virus penyebab hepatitis. Ini kerana tangan sering menjadi tempat persinggahan pelbagai kuman yang boleh berpindah ke mata, hidung dan mulut. Penting juga untuk memakai pelitup muka dan menjaga jarak bagi mengurangkan penularan penyakit. Minum air bersih dan dimasak, WHO menjelaskan pada umumnya virus penyebab hepatitis E ditemukan pada air yang tercemar. Oleh sebab itu, kita disarankan untuk minum air yang bersih dan dimasak terlebih dahulu. Penting untuk minum air yang sudah dimasak bagi mematikan kuman di dalam air.
Pengambilan makanan yang bersih dan dimasak sempurna
Kebanyakan kes jangkitan hepatitis A menular melalui mulut ketika makan makanan yang tercemar dengan virus. Oleh itu, pastikan makanan yang dimakan adalah bersih dan dimasak dengan sempurna. Buang lampin pakai buang ditempat sepatutnya, setiap kali selepas menukar lampin anak-anak, pastikan ia dibuang di tempat yang sepatutnya dan bukannya membiarkannya terbiar di merata-rata tempat. Ini penting kerana najis atau air kencing kanak-kanak yang terkena hepatitis boleh menyebabkan kumannya tersebar memandangkan penyakit itu boleh menular menerusi sentuhan najis dan air kencing.
Jangan campur pinggan dan cawan
Sebaik-baiknya asingkan alatan makan dan minum anak-anak daripada orang dewasa. Virus penyebab hepatitis boleh menular menerusi mulut. Sumber, mstar