Memang suda jadi kebiasaan dan sama seperti kebanyakan umat Islam lainnya, penyanyi Datin Alyah juga cukup teruja menyambut kedatangan bulan Syawal tahun ini apabila sudah dibenarkan untuk ziarah-menziarahi. Sejak berkahwin dengan maestro muzik, Datuk Ramli MS pada tahun 2013, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 41, lebih selesa mengikut gaya bersederhana suaminya dalam meraikan hari lebaran. Katanya “Ikutkan hati memang mahu sambutan raya kali ini lebih meriah tapi Tok Ram (Ramli MS) orangnya biasa-biasa sahaja. Dia sangat sederhana. “Kalau ikutkan Tok Ram, dia berkain pelikat sahaja di pagi raya. “Kalau dahulu, ketika masih bujang pastinya trend membeli baju baru setiap kali Syawal menjelma jadi ikutan. ”Tetapi bila dah bersuami, saya harus ikut rentak dan cara Tok Ram,” katanya kepada Media Hiburan.
Bercerita mengenai berapa helaian busana raya yang akan digayakannya sepanjang Syawal, penyanyi lagu Kisah Hati ini berkata, banyak koleksi baju raya yang masih belum sempat dipakainya. “Sebenarnya banyak baju kami yang masih tidak sempat untuk dipakai. Maklumlah, sebelum ini kita beraya saat negara sedang pandemik. Jadi baju raya pun pakai untuk hari raya pertama dan kedua sahaja. “Tapi kadang-kala ada juga niat untuk membeli baju baharu. Jika ada masa dan peluang, saya membeli secara dalam talian tanpa pengetahun Tok Ram,” kata Alyah berseloroh. Alyah juga turut mengisi masa dengan bercuti dalam negara bersama keluarga tersayang. Sumber, media hiburan
Hidup Alyah kembali ceria. Kehidupan sebagai manusia ada pasang surutnya. Bagi penyanyi, Datin Alyah, dia juga punya kehidupan yang naik dan turun umpama roda. Namun begitu, perlahan-lahan, dia mula mencari hala tuju dirinya dan pada masa sama mula menggapai rasa ketenangan. Alyah ketika ditemui baru-baru ini kelihatan bersikap terbuka tatkala berkongsi rahsia ketenangan jiwanya yang diakui amat mendamaikan. “Kata-kata daripada orang berilmu itu sangat berguna. Saya banyak mendengar ceramah dan motivasi daripada Ustaz Khalid Basalamah dari Indonesia dan cuba praktikkan apa yang dikongsikan. “Menurutnya, kalau nak rasa bahagia dan tenang, berbalik kepada agama. Kita tak maksum, tapi seboleh-bolehnya, kita buat apa yang dituntut oleh agama,” katanya.
Ujar penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa itu, selepas menjaga pemahaman agama dan amalannya, dia kembali ceria berbanding sebelum ini. “Saya jaga solat dan lakukan pelbagai amalan lain. Alhamdulillah, kini rasa ceria itu muncul semula sama seperti ketika zaman remaja. “Apa yang boleh saya kongsi adalah, kita akan rasa nikmat contohnya apabila solat di awal waktu. Kita akan dapat rasa manfaatnya sebab menghargai dan menghormati agama,” katanya. Tidak menafikan melakukan pelbagai khilaf ketika zaman mudanya, Alyah menganggap semua pengalaman itu sebagai pelajaran dalam hidup.
Katanya “Saya pernah melalui fasa muda dan lari daripada arus sebenar kehidupan. Saya anggap itu sebagai ujian yang membentuk siapa diri saya hari ini. “Allah nak melihat usaha kita untuk memperbaiki pengakhiran hidup kita. Jadi, jangan berhenti untuk berusaha memperbaiki diri. “Saya tahu, hidup ini hanya sementara. Jadi, yang saya mahukan sekarang hanyalah ketenangan jiwa kerana ia sesuatu yang tidak dapat dibeli,” katanya yang semakin berasa tenang sejak tiga tahun lalu.
Ditanya mengenai kehidupan rumah tangganya bersama suami tercinta, Datuk Ramli MS, Alyah tidak menafikan ada naik dan turun. “Sama seperti kehidupan, rumah tangga juga ada naik turunnya. Kalau dulu, apa-apa yang tak kena mesti saya akan kongsi di media sosial. “Bila difikirkan semula, semua tindakan saya itu tak ada manfaatpun. Bila nampak orang lain buat tindakan sama, saya jadi takut. “Kemudian, saya terfikir, mungkin apabila saya buat benda sama orangpun takut nak berkawan dengan saya,” katanya berbicara lanjut.
Alyah juga tidak menafikan, rumah tangga dibina pernah berdepan gelora besar apabila ada pihak yang ingin memecahbelahkan kebahagiaannya dengan suami. “Pernah satu ketika, saya sampai tahap seperti saya dan suami tak berjodoh. Orang luar hanya menunggu waktu bila rumah tangga kami goyah. “Tapi, kami berbalik kepada agama. Bukan saja saya, tapi kami berdua cuba perbaiki keharmonian dalam rumah tangga dan alhamdulillah, semuanya dapat kami harungi sehingga ke hari ini,” katanya. Hampir menjengah usia 40 tahun, Alyah juga tidak menolak sekiranya dia dan suami tetap merancang untuk memiliki cahaya mata.
Katanya lagi “Saya hanya mampu merancang, tapi Allah yang tentukan. Sebagai wanita yang bergelar isteri, saya nak sangat untuk ada anak sendiri. “Namun begitu, jadual kerja yang boleh dikata agak padat membuatkan saya perlu menyusun waktu sebaik mungkin kerana kalau nak buat rawatan persenyawaan in vitro (IVF), perlukan masa rehat yang panjang contohnya setahun. “Selagi saya masih beri komitmen kepada nyanyian, mungkin sukar untuk saya jalankan rawatan berkenaan dalam masa terdekat. “Tapi, insya-Allah satu hari nanti saya akan lakukannya juga kerana sekarang pun sudah mula memperlahankan aktiviti nyanyian. “Saya kurangkan aktiviti nyanyian kerana dah tak ada lagi keghairahan untuk membuat persembahan dan kini merancang keluarga,” katanya. Sehubungan itu, bagi perkembangan terbaharunya Alyah bersyukur dan gembira dilantik sebagai duta jenama kosmetik Zafesha Simply selama setahun. Sumber, harian metro