Umum lagi memang kita ketahui bahawa tahun ini memang ramai yang beraya sakan, maklum sahaja dua tahun tak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan pandemik Covid-19. Rata-rata juga mengambil kesempatan untuk bercuti lebih lama bagi menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga tercinta dan berkunjung ke rumah saudara mara. Dapat bercuti memang best tapi yang tak seronoknya apabila perlu kembali bekerja, perasaan malas bagaikan sudah sebati dalam diri sehinggakan ada yang mahu sambung cuti. Jangan bimbang, ada cara untuk membuatkan kita kembali fokus dan bersemangat bekerja. Jom cuba tip ini, mana tahu berhasil menyingkirkan perasaan malas dalam diri.
Ubah mindset
Disiplin adalah kunci untuk kembali bekerja, sama ada di pejabat atau di rumah. Bersikap tegas pada diri sendiri juga boleh membantu dan cuba untuk tidak melayan kehendak diri sendiri. Mengubah mindset bukan perkara mudah tetapi ia boleh dilakukan dengan usaha dan semangat. Jangan buka e-mel, memulakan hari pertama kembali bekerja dengan memeriksa e-mel hanya akan membuatkan seseorang berasa kecewa dan hilang semangat apatah lagi melihat bilangan e-mel yang masuk.
Mengemas tempat kerja
Seminggu meninggalkan pejabat, pastinya meja anda juga sudah berhabuk! Luangkan hari pertama kembali bekerja dengan membersihkan meja anda atau hiaskan dengan bunga agar dapat membangkitkan rasa seronok untuk bekerja.
Buat jadual
Selepas lama bercuti, pasti ada yang sudah terlupa tugas apa yang perlu dilakukan sekembali ke pejabat. Senaraikan tugas yang perlu diselesaikan dan susun mengikut keutamaan untuk disiapkan dengan segera. Dengan cara ini, ia dapat membuatkan anda lebih fokus terhadap pekerjaan dan tiada masa untuk melayan perasaan malas akibat terlalu lama bercuti. Sumber, mstar