Pengurus kepada penyanyi dan pelakon, Allahyarhamah Adibah Noor, Cik Todd memaklumkan tanggungjawab menjaga kesemua kucing peliharaan Adibah Noor kini digalas sepenuhnya oleh pihak keluarga dan dirinya sendiri. Menurut Cik Todd, kesemua kucing-kucing tersebut kini berada dalam keadaan yang sangat baik dibawah jagaan mereka. “Assalamualaikum, sila ambil maklum, kebajikan kucing-kucing Adibah Noor terpelihara dengan baik dibawah jagaan PA Adibah Noor dan keluarganya,” tulisnya. Perkhabaran tersebut dimaklumkan sendiri oleh pengurusnya itu menerusi sebuah ciapan di akaun Twitter milik Adibah Noor pada petang Isnin.
Dalam pada itu, Cik Todd turut menyeru kepada semua pihak untuk tidak mudah terpedaya dengan info-info palsu daripada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut. “Mohon jangan terpedaya dengan berita-berita palsu mengenai kebajikan anak anak kucing tersebut,” tulisnya. Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet menzahirkan rasa lega selain turut mendoakan segala urusan untuk menjaga kucing-kucing tersebut akan dipermudahkan. “Waalaikumussalam. Moga Cik Todd juga dalam kesejahteraan. “Alhamdulillah dan tahniah Cik Todd kerana sambung menjaga kucing-kucing kesayangan arwah. Semoga Cik Todd dimurahkan rezeki.
“Semoga sentiasa dalam rahmat Tuhan. “Harap semua dapat dijaga dengan baik. Terima Kasih update Cik Todd. Al fatihah untuk allahyarhamah. “Happy sangat mendengar cerita kucing kucing sayang,” antara komen-komen warganet di Instagram. Pengurus Allahyarham Adibah Noor, yang dikenali sebagai Todd, memaklumkan, arwah penyanyi tersebut tidak pernah berkira untuk mengeluarkan belanja yang banyak demi memastikan kucing-kucingnya terpelihara dengan baik. Menurut Todd, Adibah menyediakan wang belanja dengan anggaran sebanyak RM3,000 setiap bulan untuk tujuan tersebut termasuk membeli makanan dan keperluan lain bagi 24 ekor kucing yang dijaganya. “Kak Dib memang jaga kucing-kucingnya sejak semuanya masih kecil lagi. Ada antara kucing itu orang bagi dan ada yang datang sendiri. Tapi tak ada pun penambahan kucing baru.
“Kucing jadi banyak sebab beranak-pinak, itu yang bertambah. Kesemuanya ada 24 ekor dan selalunya dia akan membelanjakan wang untuk membeli makanan dan ubat-ubatan kucing. “Saya boleh katakan yang dia memang seorang yang tidak pernah berkira bila melibatkan kucing-kucingnya,”katanya. Selain itu, menyedari dia begitu sayangkan semua kucing tersebut, Todd mengaku bagaimanapun tidak sanggup untuk memberikannya kepada orang lain. Ini kerana, kata Todd, dia berpegang kepada amanah dan janjinya kepada Adibah sebelum penyanyi tersebut pergi menghadap illahi. “Saya terima banyak mesej daripada pelbagai pihak yang menyatakan kesediaan untuk membela kucing-kucing dia. Malah ada pihak tawar diri nak jaga kucing dia. Kucing-kucing masih berada di rumah arwah kak Dib.
“Adibah memang sudah amanahkan saya untuk menjaga kucingnya. Adibah kata bila dia tak ada, tolong jaga kucing dia. Untuk pengetahuan, semasa dia masih ada pun, saya bantu jaga juga. “Jadi, memang tak pernah berniat pun nak bagi kucing-kucing Adibah kepada orang lain. Saya dan kakak Adibah yang akan jaga semuanya,” katanya. Sabtu lalu, industri hiburan dikejutkan dengan berita permegian penyanyi Adibah Noor yang pergi menghadap illahi pada pukul 7.40 malam selepas alami sesak nafas. Allahyarham pergi menghadap illahi kerana menghidap sakit ovari. Adibah diuruskan di Tanah Islam Taman Keramat Permai, pada Ahad. kredit, media hiburan