MK K Clique akui diri tidak sempurna, MK masih belajar memperbaiki diri

Siapa tak kenal dengan rapper terkenal ini. Penyanyi Rap, MK K-clique menjelaskan untuk menjadi ikon dan duta bagi sesuatu jenama bukan perkara mudah. Tambah MK, dia sedar wujud beberapa pihak yang mempersoalkan kredibiliti dirinya untuk menjadi ikon apatah lagi kepada jenama yang berunsurkan ilmiah.

Pertikai tanggungjawab

“Ada juga pihak yang mempertikaikan mengapa saya terpilih untuk menjadi duta dan ikon, lebih-lebih lagi untuk PTTI, mungkin kerana saya seorang selebriti. Tapi apa yang saya boleh katakan, saya tidak sempurna. “Saya akui tidak mudah, tetapi Alhamdulillah, dengan kepercayaan yang diberikan, saya pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin dan setakat ini diterima baik oleh pelajar-pelajar disini. “Berganti dari tahun ke satu tahun, saya akan cuba memperbaiki diri saya sendiri. Dalam pada menasihati pelajar, saya juga akan menasihati diri saya sendiri,” katanya kepada Gempak. MK ditemui ketika Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021 PTTI yang mana dia merupakan ikon dan duta bagi pusat tuisyen akademik atas talian tersebut untuk dua tahun berturut-turut.

Kongsi pengalaman hidup

Tambah pemilik nama asal Muhammad Hairi Amin Hamdan,26, kemudahan teknologi yang ada pada masa kini sudahpun membantu memudahkan pembelajaran para pelajar, justeru kehadirannya adalah untuk menyuntik semangat dalam diri mereka. “Ini masuk tahun kedua saya menjadi duta dan ikon untuk PTTI, saya hanya kongsi sedikit sebanyak perjalanan kerjaya seni saya sebagai motivasi untuk pelajar sekolah ini terus berjaya. “Saya beri bantuan dari segi semangat dan bagi pengajaran berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui.

Katanya “Ketika di zaman saya mungkin tidak berapa canggih seperti zaman sekarang, jadi apa yang paling utama adalah saya cuba untuk memupuk semangat belajar dalam diri mereka. “Pendedahan yang ada untuk pelajar zaman kini sangat berbeza dengan zaman saya dahulu, waktu saya dahulu sangatlah berbeza dengan sekarang. “Bila saya lihat perubahan itu, saya sangat berasa seronok dan tumpang gembira untuk anak-anak ini,” tambah MK. Untuk info, MK memiliki sijil Diploma Pengajian Pengurusan Perniagaan di sebuah universiti awam terkenal.

Pelajaran amat penting

Justeru, MK berpendapat, pendidikan merupakan perkara penting yang perlu ada pada semua orang tanpa mengira latar belakang kehidupan mereka. “Saya berjaya tamatkan pengajian tepat pada waktu yang ditetapkan demi untuk membanggakan ibu bapa saya. “Untuk saya pendidikan ini bukan sahaja penting untuk selebriti tetapi penting untuk semua orang, tiada yang terkecuali. “Pada saya tunjang paling utama dalam hidup adalah ilmu, kerana ilmulah yang membawa kepada kehidupan kita yang lebih baik,” ujarnya ringkas.

Pada majlis yang berlangsung Ahad, PTTI turut meraikan kecemerlangan 335 yang memperoleh keputusan cemerlang pada SPM 2021. PTTI terus konsisten dalam misi memberi manfaat kepada orang lain terutama pelajar untuk kualiti pendidikan negara yang lebih baik. Malah selepas enam tahun, PTTI terus sinonim dengan calon SPM yang menjadikan pusat ilmiah ini sebagai alternatif terbaik dalam mendapatkan keputusan cemerlang demi masa depan. Sumber, Gempak

Exit mobile version