Konsert Rizky Febian di Malaysia dihadiri ribuan peminat setia, Ini perkongsian Rizky buat ramai sebak

Memang tak asing lagi kita dengan penyanyi popular negara jiran ini. Bersaksikan 2,400 peminat setianya, penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian berkongsi rasa sedih apabila impiannya untuk membalas jasa dan menggembirakan Allahyarham ibunya, Lina Jubaedah tidak kesampaian. Menerusi Konsert Rizky Febian Live In KL yang berlangsung di Zepp, Bukit Bintang pada malam Khamis, Rizky atau nama sebenarnya, Rizky Febian Adriansyah Sutisna, 24, secara intimasi bersama peminatnya berkongsi perasaan sulit di lubuk hatinya sangat merindukan insan tercinta yang terlebih dahulu telah dijemput Ilahi pada bulan Januari 2020.

Dalam konsert berskala besar pertamanya di Kuala Lumpur ini, Rizky juga turut menitipkan pesanan buat peminatnya agar sentiasa menghargai insan-insan tersayang di sekeliling kerana tidak mahu rasa penyesalan yang menebal di hatinya turut dirasai orang lain. “Kalau ditanya pada saya, penyesalan paling dalam sepanjang kehidupan saya ialah apabila arwah ibu tidak dapat melihat konsert saya. “Dulu saya selalu hanya fokus dengan impian saya (ceburi bidang muzik) serta ingin bahagiakan orang tua, namun bila dia sudah tiada, baharu timbul rasa penyesalan kerana tidak dapat berkongsikan momen seperti ini dengan arwah ibu.

Katanya “Dulu saya merasakan impian saya (mengadakan konsert) tidak mungkin akan terjadi, tetapi rencana Tuhan itu cukup cantik. “Berkat daripada doa orang tua saya, kalau tiada restu daripada kedua ibu bapa, kita pasti akan salah jalan. “Oleh itu, saya tidak mahu lagi timbul rasa penyesalan buat kali kedua dan saya dedikasikan konsert ini buat ayah, Sule, tiga adik saya serta teman wanita, Mahalini. Mereka semua menjadi inspirasi untuk saya terus berkarya buat kalian,” kata Rizky sebaik selesai mengalunkan tiga lagu pertama konsert tersebut.

Dianjurkan The Jay Events & Media, Rizky Febian Live In KL menyaksikan Rizky mengalunkan 16 seleksi lagunya yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton yang rata-ratanya ‘sing-along’ bersama karya-karya seninya itu. Tepat jam 8.35 malam, Rizky membuka tirai dengan lagu Penantian Berharga disusuli Ragu, Cuek, Indah Pada Waktunya, Makna Cinta, Berpisah Itu Mudah, Kesempurnaan Cinta, Salah, Mantra Cinta, Cukup Tau, Reuni, Menari, Hingga Tua Bersama, Seperti Kisah, Terlukis Indah dan Tak Lagi Sama.

Konsert ini turut menjadi antara yang paling akan diingati Rizky kerana menurutnya ini merupakan persembahan pentas pertama yang dihadiri bapanya, Sule, pelawak terkenal Indonesia yang sebelum ini tidak mempunyai kelapangan waktu untuk berbuat demikian berikutan terikat dengan komitmen kerja. Sumber, media hiburan

Exit mobile version