Pertama kali dikritik, Timah akui sedikit kecewa. Penyanyi baharu Timah terkejut dan kecewa apabila mendapati video nyanyiannya tular serta menerima kritikan hebat dalam kalangan warganet di media sosial. Timah atau nama sebenarnya Fatimah Norryah Mohd Noor Kosygin, 14, berkata dia menerima banyak komen yang menganggap lagu berjudul Eleh He Eleh itu sebagai pelik dan tidak sesuai dinyanyikan.
“Orang kritik sebab tajuk lagu itu pelik dan liriknya seperti kebudak-budakan. Sedangkan mereka tidak tahu saya baru berumur 14 tahun. Jadi rasanya ia sesuai untuk saya. Inilah pertama kali saya menerima kritikan. Memang terkejut dan pada awalnya agak sedikit kecewa. Bagaimanapun sekarang ini saya sudah tidak lagi ambil peduli. Janganlah buat saya begini. Saya masih muda lagi. Takut rasanya apabila menerima kritikan,” katanya.
Timah sebelum itu tampil membuat persembahan di pentas Gegar Vaganza Live yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad. Di sebalik kata-kata negatif, Timah menganggap ia juga sebagai satu hikmah apabila namanya mula dikenali dan lagu tersebut banyak digunakan sebagai muzik latar di media sosial.
“Apabila orang bercakap tentang lagu itu secara tidak langsung nama saya juga menjadi sebutan. Sedikit sebanyak ia boleh bantu untuk terus promosikan kerjaya seni. Ibu juga ada berpesan supaya tidak mudah rasa kecewa kerana ini adalah sebahagian yang perlu dihadapi dalam dunia seni. Apa yang penting adalah lagu tersebut berjaya mendapat perhatian ramai,” ujarnya.
Janganlah buat saya begini. Saya masih muda lagi
Dalam pada itu, Timah juga meluahkan rasa syukur apabila keluarga dan rakan-rakan sekelas memberikan sokongan ketika dia berdepan dengan kritikan sebelum ini. Malah, bekas peserta program Mega Star Ministar 2019 ini juga tidak patah semangat untuk tampil dengan tajuk atau lagu baharu yang mungkin sekali lagi dianggap pelik dalam kalangan pendengar.
“Selepas mendapat kritikan, ada rakan-rakan sekelas yang marah dengan komen warganet. Mereka sendiri sanggup nak pertahankan saya. Mungkin selepas ini saya boleh tampil dengan lagu yang menggunakan tajuk yang boleh menjadi viral. Biasanya perkara-perkara pelik ini mudah dapat perhatian dan melekat di hati peminat,” jelasnya. Lagu Eleh He Eleh yang dilancarkan pada September lalu merupakan ciptaan bersama Glow Rush, Nick Ariff, Acap Salim dan Faizal Tahir. Manakala liriknya pula ditulis oleh Shah Shamsiri, Acap Salim, Glow Rush dan Nick Arif. Sumber, Mstar Online