PELAKON dan usahawan sensasi Iqbal Zulkefli meluahkan rasa terkilan dengan kenyataan aktres Wafariena kononnya dia sengaja mencari publisiti murahan selepas memuat naik gambar berdua di laman sosial. Menurut Iqbal, 28, sebelum berkongsi foto berkenaan dia sudah mendapatkan persetujuan semua pihak dan Wafariena sudah bersedia jika timbul gosip kononnya mereka sedang bercinta. “Sebelum upload gambar tersebut, saya sudah bertanya… dia pun kata gosip itu adalah perkara biasa dalam dunia hiburan. Kalau gambar bertentang mata begitu, pasti sudah boleh jangka apa yang orang perkatakan.
“Tiba-tiba saya kena hntm sedangkan dia tahu gosip tersebut akan berlaku. Saya rasa seperti ditindas dan kecewa dengan kenyataan yang dia keluarkan,” katanya kepada mStar. Sebelum itu, Iqbal berkongsi gambarnya bersama Wafariena ketika menjalani penggambaran drama berjudul Pok Yea Preh menerusi laman Instagram. Menerusi ruangan komen, warganet mula mengaitkan mereka mempunyai hubungan istimewa kerana dilihat seakan-akan mesra bertentang mata. Perkara tersebut bagaiamanapun tidak disenangi oleh Wafariena dan menganggap Iqbal sengaja meraih perhatian ramai demi mencari publisiti.
Tidak menafikan hal tersebut, Iqbal melihat apa yang dilakukan itu sedikit sebanyak boleh membantu untuk mempromosikan drama terbaharu lakonan mereka itu. “Boleh sahaja dia nafikan kalau apa yang menjadi bualan ramai itu tidak benar. Tak perlu untuk berkata perkara yang tidak elok tentang saya. “Dari sudut marketing, saya merasakan gambar tersebut boleh membantu untuk promosikan drama kami. Orang melihat ada keserasian antara kami, mungkin boleh bekerjasama dalam drama akan datang,” jelasnya. Meskipun sudah lali menerima kritikan, Iqbal bagaimanapun berkata dia bimbang jika kenyataan Wafariena itu akan memberi pandangan buruk pelakon lain terhadap dirinya.
Dalam masa sama, bekas peserta Big Stage 2022 ini juga akan lebih berhati-hati sebelum memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak lagi menimbulkan salah faham dengan mana-mana pihak. “Saya sudah kalis gosip. Jadi apa yang dilakukan itu hanya fikir untuk tuntutan kerja sahaja. Cuma saya bimbang pelakon lain anggap saya ini suka menggatal di lokasi dan mereka tidak mahu terima kehadiran saya sebagai orang baharu. “Kerjaya dalam bidang ini, kita juga perlu faham tentang kepentingan media sosial. Jadi saya akan lebih memahami situasi pihak lain sebelum kongsi gambar bersama selepas ini,” ujarnya. Kredit, Mstar