Dah tak bongkok lagi, isteri tampil dedah Zamani sudahpun dibenarkan pulang ke rumah

Tiga hari ditahan dalam wad usai operasi membetulkan tulang belakang melengkung akibat sakit skoliosis, penyanyi Zamani Ibrahim kini dibenarkan pulang ke rumah. Perkembangan terkini penyanyi berusia 51 tahun itu dikongsi isterinya, Nur Juliana Abd. Rani. “Assalamualaikum semua, alhamdulillah Zamani telah dibenarkan keluar hospital pada petang ini,” katanya dalam satu kiriman mesej kepada Kosmo! Online.

Juliana turut berkongsi berita gembira tersebut dalam Instagram yang disertakan video Zamani sedang berjalan dalam keadaan tegak sambil diiringi jururawat. Keadaan vokalis Slam selepas menjalani prosedur tersebut sangat berbeza kerana sebelum ini pergerakannya terbatas disebabkan tulang membengkok berbentuk S yang membuatkan fizikalnya menjadi bongkok.

Menerusi mesej sama, pasangan suami isteri terbabit turut menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang membantu melancarkan urusan hingga dapat menjalani operasi termasuk kepada ikon penyiaran, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil.

“Saya dan Zamani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor, pasukan operasi dan semua kakitangan Sunway Medical Centre Velocity. Terima kasih juga kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang beliau menjalani operasi sehingga ke hari ini. Kepada Pak Nil, semua peminat, pihak media dan penyumbang dana, segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai sehingga akhir hayat,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Gerimis Mengundang yang berhadapan sakit skoliosis sejak tahun 2015 menjalani operasi membetulkan tulang belakangnya pada 7 November lalu. Prosedur operasi yang dilakukan di sebuah pusat perubatan di Cheras itu mengambil masa hampir tujuh jam untuk disempurnakan.

Selain perlu menjalani rawatan susulan, zamani juga perlu melakukan latihan fisioterapi untuk cepat sembuh. Proses penyembuhan hanya mengambil masa antara dua hingga empat minggu. Difahamkan Zamani harus mendapatkan rehat sehingga tiga bulan sebelum boleh kembali aktif dalam arena seni suara. Sumber, K!Online

Exit mobile version