“Saya mahu hidup yang gembira tanpa memerlukan nasihat daripada orang lain tentang apa yang perlu saya lakukan. Kalau suka, ikut. Kalau tak suka, ‘just swipe’ (abaikan)”. Demikian tegas juri tetap Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Datuk Syafinaz Selamat ketika menjawab soalan tentang penampilannya pada malam tadi yang dilabel segelintir warganet sebagai mencolok mata dan tidak sesuai untuk tontonan umum. Mempertahankan penampilannya yang dikatakan ‘keterlaluan’ pada konsert suku akhir GV9, Syafinaz yang juga guru vokal itu menjelaskan itulah imejnya sejak dahulu lagi.
“Dari dahulu sampai sekarang, inilah saya. Usia saya bakal mencecah 50 tahun pada tahun hadapan. Saya tidak mahu hidup saya dikongkong oleh orang lain. “Jadi kalau anda suka dan gembira dengan saya, ikutlah. Tapi kalau anda tidak gembira (dengan penampilannya), abaikan. “Semuanya pilihan kita sendiri. Nak komen pun jika perlu sahaja. Kalau rasa tak nak komen, jangan komen apa-apa,” ujarnya kepada Kosmo! Online. Pada masa sama, Syafinaz turut menasihati masyarakat supaya tidak memeningkan kepala untuk memberi komen terhadap sesiapa sahaja di dunia ini.
“Kenapa awak perlu susahkan hati dan minta? Saya tidak rasa Tuhan kata awak perlu komen semua orang dalam dunia ini. “Jalani kehidupan anda sendiri. Saya tidak kacau awak, awak jangan kacau saya,” katanya. Bercakap tentang penampilan dan gaya fesyennya yang sering jadi tumpuan warganet setiap konsert mingguan GV9, Syafinaz menjelaskan, dia hanya dibantu pasukan yang dipercayai dan selesa bekerjasama. “Mereka (pasukan tatarias) tahu dan lebih teruja berbanding saya setiap minggu. Saya hanya akan luluskan apa yang saya mahu. “Pada saya, kita perlu berfesyen tapi jangan jadi hamba fesyen. Jangan buat benda yang menyebabkan kita nampak buruk,” katanya.
Terdahulu, penampilan Syafinaz pada konsert minggu kesembilan, GV9 pada Ahad menuai kritikan segelintir warganet apabila dikatakan mencolok mata dan tidak sesuai untuk ditonton seisi keluarga. Syafinaz dilihat memakai busana yang menggunakan material kain net, sehingga seolah-olah menampakkan kulit pada bahagian dada dan lengannya. Rata-rata warganet berpendapat pakaian sebegitu tidak seharusnya dipakai dalam sebuah program yang ditonton seluruh lapisan usia. “Baju Syafinaz sangat tidak sesuai,” komen seorang pengguna Twitter.
“Tiada siapa ke nak tegur baju Syafinaz agak mencolok mata untuk konsert GV9 malam ini (semalam),” ciap seorang lagi warganet. Sebelum ini, penampilan Syafinaz sering meraih pujian ramai pada setiap konsert kerana kerap tampil dengan busana anggun dan unik. – KOSMO! ONLINE. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.