Salamiah dan Gerry pada majlis pernikahan mereka. Suami kepada penyanyi veteran Salamiah Hassan iaitu Gerry Hughes pergi buat selamanya di Tasmania, Australia pada Jumaat. Allahyarham Gerry menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun.
Khabar duka itu dikongsikan oleh anak Salamiah iaitu Atilia Haron menerusi Instagram Story miliknya pada Sabtu. Atilia turut memaklumkan, ibunya kini sedang dalam perjalanan pulang ke Australia sejurus mendapat perkhabaran tersebut.
“Kami sekeluarga menerima berita pemergian bapa tiri Gerry Hughes pada Jumaat pagi dan ibu saya sedang dalam perjalanan pulang ke Tasmania, Australia,” katanya.
Salamiah berada di Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu bagi memenuhi undangan persembahan namun Gerry tidak ikut bersama. Dalam pada itu, Atilia meminta semua pihak agar memberi mereka sekeluarga ruang selepas menerima berita mengejutkan itu.
“Kami harap semua dapat memberikan masa untuk kami meratapi pemergian yang mengejutkan ini. Al-fatihah,” katanya. Untuk rekod, Salamiah dan Gerry disatukan sebagai suami isteri pada 1 September lalu di Tasmania dalam sebuah majlis sederhana. Pasangan ini berkahwin selepas saling mengenali sejak 15 tahun lalu. Sumber, Mstar Online