Nama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi sebutan ramai berikutan diminta berundur gara-gara kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam (Sabtu). Anak kepada Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai tuntutan kepada bapanya untuk bertanggungjawab atas kekalahan teruk BN. Kata Nurulhidayah, semua orang berhak untuk bersuara namun dia memilih kekal tenang dan berlapang dada. Saya lebih selesa tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menyakitkan hati sesiapa. Semua ada hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing.
Saya memilih untuk kekal tenang dan berlapang dada. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian. Dalam pada itu, Nurulhidayah turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu yang sukarela membantu berkempen di Bagan Datuk. Katanya, kemenangan Ahmad Zahid dengan majoriti tipis iaitu 348 undi adalah hasil daripada usaha dan keyakinan yang diletakkan. Pada PRU-15, BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandingi selain Perikatan Nasional menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan, berbanding 79 kerusi dimenangi pada PRU-14.
Sejam selepas pintu pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditutup pada 6 petang semalam, banyak ‘kejutan’ serta ‘drama’ politik yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda reda.
Ini selepas Barisan Nasional (BN) sendiri yang ‘dimalukan’ oleh pihak parti-parti lwn selepas hanya memperolehi 30 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini berbanding 131 kerusi yang disasarkan. ‘Mood rakyat’ yang melihat kepada penolakan parti itu jelas memberi kesan kepada pihak dalam parti itu yang turut menyatakan kekecewaan terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hari ini, ahli parti Barisan Nasional nampaknya lebih berani bersuara dengan gesaan untuk Ahmad Zahid, yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, meletakkan jawatan. Antaranya, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mengakui tidak berpuas hati dan mengharapkan agar Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO sepertimana yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). “Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana Presiden tidak percayakan saya dan saya pun tak percayakan Presiden,” katanya ketika ditemui media selepas berlangsungnya Mesyuarat Biro Politik termasuk Pengerusi Perhubungan Negeri di Menara Dato’ Onn pada Ahad.
Turut senada dengan Noh adalah Shahril Hamdan yang umum lepaskan jawatan Ketua Penerangan UMNO; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; dan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang menyarankan agar Ahmad Zahid mengundur diri. Antara yang hadir pada mesyuarat pada tengah hari Ahad ialah Ahmad Zahid; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan beberapa Ahli MKT UMNO termasuk Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Rauf Ab Yusoh, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sementara itu, Parti MCA dan MIC pada Ahad juga secara rasmi menyatakan hilang kepercayaan terhadap Ahmad Zahid yang mana mereka dalam kenyataan media berasingan berkata, kekalahan BN pada PRU15 memberi signal yang jelas perlu ada perubahan dari segi struktur pimpinan gabungan itu. Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon berkata, parti itu terkejut dan kecewa atas keputusan Ahmad Zahid yang menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang dijadualkan pada malam ini.
Dalam perkembangan sama, terdapat beberapa pemimpin UMNO pulang dari Menara Dato’ Onn, terdapat beberapa desakan daripada ahli akar umbi parti yang menggesa supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan. Sekumpulan ahli UMNO yang dikatakan dari bahagian Bukit Bintang berkumpul dan mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatannya susulan rekod terburuk kemenangan kerusi Parlimen dicatat BN pada PRU15 semalam. Malam ini, antara tumpuan yang diberikan pihak media adalah Sidang Media oleh Ketua-ketua Wanita UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan yang akan diadakan di Pejabat Wanita UMNO Wilayah Persekutuan Medan Tuanku, Kuala Lumpur. Sumber, Instagram @nurul.zahid