KES tuntutan hak penjagaan anak pelakon Adam Shahz dan bekas isteri iaitu Fatin Afeefa nampaknya masih gagal menemui kata sepakat. Justeru itu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada Selasa menangguhkan kes berkenaan untuk sebutan kali kedua pada 17 April depan. Meskipun belum menemui jalan penyelesaian, Adam atau Nor Shah Azli Abdol Ghani, 42, berharap agar proses mahkamah tersebut dipermudahkan. “Sejujurnya, saya memang mengharapkan perkara ini dipermudahkan untuk pihak saya dan pihak sebelah sana. “Tapi mungkin ada syarat-syarat yang pihak Fatin tak setuju, jadi kita akan teruskan untuk sebutan kes kali kedua,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie Liyana Sihar yang mewakili Adam memberitahu pihak defendan iaitu Fatin telah memfailkan bantahan untuk pindaan permohonan pindaan iaitu hal lawatan yang difailkan plaintif (Adam) sebelum ini. “Hari ini sebutan kes pertama dan pihak kita sebenarnya memohon untuk membuat pindaan (hak lawatan) kepada yang telah difailkan sebelum ini iaitu tuntutan hak penjagaan penuh. Namun, pihak defendan membuat bantahan dan kami diarahkan untuk memfailkan pindaan secara bertulis. Selepas perbincangan, kami percaya anak guam boleh bertolak ansur untuk berikan hak jagaan kepada defendan.
“Jadi, itulah perbincangannya. Kita tahu bila seseorang dapat hak jagaan manakala pihak lagi satu akan dapat hak lawatan tetapi dibantah. Kita nak bersama-sama menang cuma perkara ini dibantah dan percaya kami ada hak serta akan tuntut,” jelasnya. Dalam pada itu, Adam memberitahu dia sudah empat bulan tidak bersua muka dengan anaknya iaitu Ivy Herra Sophia yang kini berusia lapan tahun.
“Kali terakhir kami berjumpa pada Oktober tahun lalu dan saya sendiri tidak tahu dia berada di mana selain dapat tahu bekas isteri sudah menghantarnya ke sekolah berasrama. “Saya telah disekat oleh keluarga sebelah sana termasuk bekas isteri dan sehingga hari ini tidak berhubung dengan anak. “Pada majlis sulk lalu, defendan ada beritahu anak sudah dihantar ke sekolah berasrama tetapi tidak diceritakan secara terperinci,” ujarnya. Sementara itu, Fatin ketika ditemui enggan memberikan sebarang kenyataan dan memilih untuk mengikut segala proses yang ditetapkan mahkamah. “Tiada apa yang saya nak cakap. Kita dah masuk mahkamah jadi kita ikut saja proses mahkamah.
“Saya pun tak nak bagi kenyataan yang akan makan diri. Jadi saya cuma akan menghormati pihak mahkamah dan saya rasa tiada apa lagi yang saya nak cakap,” katanya. Sebelum ini, pelakon Filem Juvana itu gagal mencapai kata sepakat dengan Fatin ketika proses sulh dilakukan pada 28 Januari lalu. Untuk rekod, Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 namun berpisah empat tahun kemudian. Selain Ivy, Fatin turut memiliki seorang anak lelaki iaitu Adam Aisy Arrian yang kini berusia 10 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.