Kisah peti sejuk pernah viral, kini dah ada duit sendiri walaupun hanya suri rumah

Segalanya bermula dengan hanya membuat kandungan (content) di akaun TikTok secara suka-suka, tetapi kini Nazira Nawawi, 26, sudah memiliki lebih 255,000 pengikut. Dia yang lebih senang dengan panggilan Ummi di media sosial mula dikenali ramai menerusi sebuah video tular mengenai peti sejuk yang dibeli olehnya setelah empat tahun berkahwin. “Saya mula bermain TikTok sejak awal-awal popular lagi. Dulu banyak share video fasal keluarga kecil saya secara suka-suka untuk kenangan. “Tapi ramai mula kenal saya selepas upload video pertama kali beli sebuah peti ais. Masa tu saya buat kejutan dekat suami sebab peti tu sampai lebih awal dari tarikh sepatutnya.

“Video tu tular sebab ramai tersentuh dengan cerita kami. Reaksi suami masa tengok peti sejuk itu pun menyebabkan ramai follow akaun saya,” ujarnya ketika dihubungi. Bercerita lanjut mengenai kandungan yang dibuat, katanya, rata-rata warganet yang mengikuti akaunnya suka melihat keletahnya dan suami, Niknirwan Nik Mohd Lizam, 25 bersama dua lagi anaknya. Kata wanita yang merupakan suri rumah sepenuh masa ini, rezekinya mula bertambah apabila semakin banyak menerima tawaran reviu produk. Malah, berkat usahanya yang berniat membantu meringankan beban suami, dia kini mampu menambah koleksi perhiasan barang kemas serta membantu keluarga.

“Followers bertambah sekelip mata sebab saya perasan mereka suka tengok Abi (suami). Mereka suka tengok keletah suami dan anak sulung kami. “Saya tak kerja cuma sekarang banyak buat reviu produk untuk pendapatan bulanan walaupun tak tetap. Gaji pertama saya peroleh dulu saya gunakan untuk beli mesin basuh di rumah. “Sekarang rezeki semakin bertambah sampaikan boleh beli emas hasil duit bekerja sendiri. Sedikit sebanyak dapat bantu suami dan hulur duit dekat keluarga,” katanya lagi. Bercerita mengenai pembahagian masa menguruskan rumahtangga dan membuat kandungan TikTok, dia mengakui ia bukan satu perkara yang mudah.

Namun, wanita yang berasal dari Terengganu ini berasa bersyukur apabila suaminya juga turut membantu dalam membuat content. “Biasanya waktu siang saya banyak luangkan masa dengan anak-anak. Malam hari baru saya buat content. Kadang-kadang tu anak pun join. “Saya bersyukur sangat suami banyak support. Kalau reviu yang memerlukan dia, Abi tak pernah menolak walaupun penat baru balik kerja. Tapi duit reviu saya terima dia tak pernah ambil pun. “Saya juga tak pernah ada masa untuk diri sendiri sebab setiap kali nak ‘me time’, masa tu jugalah rasa rindu keluarga. Tapi tak setiap hari buat content, ada masa kami bawa anak jalan-jalan,” katanya.

Dalam pada itu, Nazira turut menitipkan pesanan buat warganet di luar sana terutama sekali golongan ibu yang menjana pendapatan menerusi media sosial sepertinya. Jelasnya yang sudah berumah tangga lebih enam tahun, menerima kritikan juga pandangan negatif orang lain dalam ‘dunia TikTok’ memerlukan kekuatan dari segi mental. “Saya masih belum layak kalau nak dijadikan role model orang di luar sana. Tapi apa yang boleh saya katakan pada mereka sedang membina keluarga, bersabar dalam menunggu rezeki Allah. “Bagi saya, keluarga adalah rezeki terbesar dan anugerah terindah dalam hidup. Mereka merupakan ‘keluarga impian’ yang saya inginkan selama ni.

“Dari mula awal perkahwinan pun, kami dah cuba cipta semua ini. Sebenarnya bahagia tu datangnya dari kita bersyukur tentang apa yang ada dan kebahagiaan kita cipta,” ujarnya menutupi kisah. Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version