Penyanyi Shiha Zikir tidak menyangka dapat membawa pulang trofi kemenangan Persembahan Terbaik bersama wang tunai RM12,000 menerusi lagu Irama di Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37) yang berlangsung malam tadi. Penampilan tema unik dengan elemen limpahan cahaya laser, warna-warna neon serta ‘glow in the dark’ disulami tarian lincah, Shiha berhabis lebih RM100,000 untuk merealisasikan irama. “Syukur Alhamdulillah. Kalau sebut mengenai undian, memang saya tak jangkakan. Tapi apabila bercakap soal persembahan, saya memang percayakan team saya dengan idea dan konsep serta pelaksanaan persembahan sehingga Irama menjadi kenyataan.
“Saya berhabis lebih RM100,000 dan elemen yang paling mahal dalam persembahan saya adalah lampu laser. Syarikat saya, Shiha Zikir Empire, Todak Music dan Alternate Record membahagikan kos ini. Biarpun pasti ada yang katakan pelaburan lebih RM100,000 tak setimpal dengan hadiah kemenangan bernilai RM12,000 tapi saya rasa puas kerana ini adalah minat saya,” katanya. Mengulas mengenai pertikaian sesetengah peminat yang mendakwa persembahan ‘terbalik’ Naim Daniel menerusi lagu Mainan lebih layak diangkat sebagai persembahan terbaik, penyanyi lagu AEWO ini mempunyai jawapan tersendiri.
“Saya sendiri kagum dengan persembahan Naim. Sewaktu dia praktis ketika sesi latihan, saya cakap, gempaknya persembahan dia! Nak menyanyi sambil terbalik bukan mudah, lebih-lebih lagi menyampaikan lagu balada. “Saya tak nak komen mengenai kata-kata negatif yang mempersoalkan kemenangan Irama. Saya faham masing-masing ada pendapat tersendiri, tak semua orang ada pemikiran yang sama. “Dalam pendapat saya sendiri, jika masuk bertanding, pastinya semua orang nak menang. Jika saya masuk pun, sudah tentu saya mahukan kemenangan. Tapi sebelum ini, saya sudah sertai banyak program dan pertandingan, jika ada orang lain menang, saya takkan menyalahkan sesiapa jika saya kalah,” katanya.
Dalam pada itu, Shiha juga berharap semua pihak mempercayai ketentuan rezeki yang sudah ditakdirkan. “Saya berharap kepada mereka yang mempertikaikan, kena ada kepercayaan kepada juri dan keputusan yang telah ditetapkan. Sudah tentu juri lebih arif dan profesional. Saya sendiri tak layak komen mengenai kemenangan kerana juri sahaja yang tahu sebab mereka memilih pemenang. “Jika bercakap mengenai undian, lagilah saya tak yakin saya boleh menang. Sekiranya ia melibatkan undian, ramai lagi artis lain mempunyai sokongan peminat yang kuat. Jadi, apa yang saya boleh buat adalah percaya kepada rezeki. Orang yang mengundi pun boleh nampak usaha yang diletakkan dan mereka yang mengundi mesti tahu mengenai persembahan.
“Saya tak cakap persembahan saya sahaja yang bagus, pastinya semua peserta pun dah buat sehabis baik, lebih-lebih lagi Naim, pertama kali saya lihat ada penyanyi menyanyi terbalik. Apa pun ia berbalik kepada rezeki,” katanya lagi. Sumber, xtra. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.