Selepas pengarah berkontroversi, Syamsul Yusof membuat pendedahan dengan menyatakan isteri pertamanya, Puteri Sarah meminta tuntutan untuk berpisah yang berlebihan dan mohon menarik semula nuysuz, aktres itu bertindak bersuara di Instagram. Menerusi hantaran di Instagram Stories (IG Story), Puteri Sarah akui menyesal apabila tidak membuat rakaman video ketika sesi pertemuan secara empat mata bagi proses perbincangan bersama suaminya pada malam 9 April lalu.
Menurut Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 38, dia seharusnya sedar Syamsul merupakan seorang ‘kaki pusing’ cerita. “Menyesal tak rekod video masa perbincangan malam itu. Saya patutnya tahu dia kaki spin suka pusing cerita. Tidak apa lah, bulan Ramadan, Allah ada jaga saya dan anak-anak. Pada hantaran sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi tangkap layar yang memaparkan perbualan mereka berdua di aplikasi WhatsApp sebelum bertemu.
Menerusi perbualan tersebut, pelakon drama Melastik Ke Hatimu ada mengutarakan cadangan kepada pengarah filem Munafik itu untuk merakam video perbualan mereka untuk dijadikan bukti sekiranya berlaku sebarang penipuan, namun cadangan itu ditolak. Terdahulu, Sejurus pulang dari Mahkamah Syariah Rendah Wilayah Persekutuan pada Selasa, Syamsul telah memuat naik sepotong video yang mendakwa Puteri Sarah menukar perjanjian asal. Kata Syamsul, isterinya telah meminta penambahan pada jumlah tuntutan talak selain mohon menarik semula nuysuz ke atas dirinya.
Tidak mendiamkan diri, selang beberapa minit kemudian, ibu kepada dua cahaya mata itu tampil menafikan kenyataan tersebut. Malah, Sarah turut ‘petik’ mengenai video tidak senonoh Syamsul bersama madunya, Ira Kazar. Lafaz talak yang sepatutnya dilakukan Syamsul ditangguhkan apabila Puteri Sarah enggan menarik semula saman terhadap Ira Kazar dan keluarga selain pengarah tersebut meminta pengurangan bayaran nafkah anak-anak. Berikutan tiada lafaz talak daripada Syamsul, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 25 Mei depan di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas.
Terdahulu, Syamsul bersetuju dengan permohonan talak Puteri Sarah pada 10 April lalu. Media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu. Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perpisahan mereka. JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perpisahan di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu. Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan talak selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini. Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.