Saban tahun pasti akan ada kes-kes pelanggan yang dianiaya peniaga bazar Ramadan, karipap inti oxigen, makanan hangit, makanan dah busuk atau basi dan terbaru ni, kantoi peniaga air guna air paip. Kelakuan itu, dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial semalam sehingga meraih lebih daripada 4,100 jumlah perkongsian di Twitter. Beberapa foto yang tular itu menunjukkan peniaga mengisi air paip di tepi jalan dalam satu bekas sebelum dituangkan kedalam balang air untuk dibuat berniaga.
Biarpun, waktu dan lokasi kejadian masih belum dikenalpasti, ramai warganet bengang dan kembang tekak apabila melihatnya. Mana tidaknya, menu di bazar Ramadan sekarang mahal-mahal belaka, kalau dulu RM 20 dah lepas banyak menu, kuih dan air, sekarang ni bawa RM 50 pun belum tentu cukup kadang-kadang. Dengan perkongsian ini, ia membuatkan ramai warganet kongsikan sebab kenapa mereka tidak pergi ke bazar Ramadan, bahkan, ada juga yang mengatakan bahawa kejadian ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu, cuma tidak digembar-gemburkan sahaja di media sosial sebelum ini.