Tidak terlalu berharap, Neelofa anggap rezeki duit raya Bilal 14k tahun lepas

Pasangan selebriti popular Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail menyatakan dia menganggap duit raya yang diterima anak sulung mereka, Muhammad Bilal sebagai rezeki apabila menerima lebih RM14,000. Pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia menyerahkan soal itu kepada rezeki dan tiada masa memikirkan soal ‘angpau’ atau meletakkan sasaran sumbangan jumlah duit raya yang bakal diterima anaknya. “Saya tak minta pun. Jumlah yang diterima tahun lalu adalah rezeki dia. Ketika itu, Bilal baru empat bulan dilahirkan. Jadi, ramai orang beri perhatian kepadanya.

“Saya tidaklah terlalu berharap orang bagi duit raya kepada Bilal, tahun ini. Ada rezeki, alhamdulillah,”katanya. Neelofa berkata, selepas berkahwin dengan Haris, dia lebih memahami erti sebenar di mana Ramadan lebih baik diraikan berbanding Syawal. “Kita sebenarnya terlalu ikut dengan adat dan tradisi, berbanding makna sebenar Ramadan dan Syawal. Apabila saya mendalami ilmu agama dan mengikuti kelas serta usrah, baru saya faham sebenarnya Ramadan lebih baik diraikan berbanding Syawal. Disebabkan itu, setiap tahun keluarga Haris menyambut Ramadan dengan meriah, di mana malam sebelum puasa itu mereka mengadakan kenduri dan memberi orang makan. Itu cara yang sepatutnya, di mana, saya baru tahu.

Sebab kita mahu masuk bulan baik, jadi kita masuk dengan hati yang bersih. Bukan selepas bulan baik berlalu, baru kita nak bermaaf-maafan,” katanya. Dikesempatan itu, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan mempelajari ilmu baharu. Malah, selebriti berusia 34 tahun itu juga gembira dapat meraikan tradisi Syawal yang baharu bersama keluarga suaminya, Haris. “Keluarga Haris menghidupkan malam sebelum hari raya pertama. Sebab beberapa malam yang Allah tekankan untuk diraikan adalah seperti malam Nifsu Syaaban, Lailatul Qadr, Aidilfitri dan Aidiladha.

“Dahulu, malam raya saya sibuk main bunga api, berjaga malam borak dengan sepupu sampai pagi. Tetapi selepas berkahwin, saya belajar untuk menghidupkan malam raya. Malam itu juga dianggap malam di mana doa mustajab. Jadi, daripada kita berjaga malam untuk berborak, baik kita beribadat. Misalnya, buat solat tasbih dan sebagainya. Disebabkan itu, ayah Haris baca kitab setiap malam raya bersama keluarga. Kadang-kadang mereka buat tahlil. Alhamdulillah, banyak yang saya belajar dengan keluarga Haris. Saya mula-mula macam pelik, tapi apabila saya membaca fadilat dan amalan Syawal, saya baru tahu,” katanya.

Tambah Neelofa, sambutan Syawal mereka sekeluarga pada tahun ini diraikan secara sederhana di mana dia menyediakan tiga pasang baju sedondon untuk mereka tiga beranak. “Seperti tahun sebelum ini, sambutan raya kami sekeluarga, biasa sahaja. Terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sambut sederhana. Apatah lagi Haris, sangat ringkas orangnya. Namun, Alhamdulillah, raya tahun ini kami sedondon. Saya sudah kata kepada Haris, saya mahu ambil alih tugas pilih baju dan dia benarkan.

Jadi, saya sediakan baju sedondon tiga pasang untuk kami tiga beranak,” katanya yang berkunjung ke rumah ibu bapa mentua di Sri Petaling, selepas solat sunat Aidilfitri, Sabtu lalu. Untuk rekod, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan Haris pada 27 Mac 20221 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Bilal pada 29 Januari tahun lalu. Kini, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu sedang hamil anak kedua.

Sumber: Berita Harian. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version