Tular pasal jual air dalam akuarium di bazar, sekali ada pula yang perli Dr Rafidah macam ni

SEBAGAI pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah nampaknya tidak pernah penat menegur tentang gaya hidup yang berkait rapat dengan tahap kesihatan masyarakat. Terbaharu Dr Rafidah yang aktif di media sosial mengulang kicau twit yang dibuat pengguna Twiter dengan nama Jalal Misai berhubung minuman berperisa yang dipercayai dijual di sebuah bazar Ramadan. “Saya jangka ikan-ikan pun terus kencing manis dan dapat komplikasi organ seperti potong kaki, buta dan rosak buah pinggang,” tulisnya di Twitter. Kiasan membabitkan tahap kesihatan haiwan yang hidup di dalam air itu dilihat bersesuaian dengan sekeping foto dikongsikan Jalal iaitu dua jenis minuman di dalam balang kaca.

Jelas kelihatan balang berkenaan tidak ubah seperti akuarium yang biasa digunakan untuk membela ikan di rumah. “Tinggal nak letak ikan saja,” tulis Jalal ringkas mengiringi foto yang dimuat naik. Bagaimanapun tidak dinyatakan lokasi minuman berwarna kuning dan merah itu diniagakan. Namun apa yang dikesali ialah warga maya dilihat bitter dengan metafora digunakan Dr Rafidah.Rata-rata cuba menempelak Dr Rafidah kerana menggunakan kiasan ‘ikan akan potong kaki’ apabila diletakkan di dalam balang kaca itu kerana dikatakan dibancuh menggunakan gula dalam kuantiti yang banyak.

“Dulu datuk saya cakap kita hidup entahlah sampai bila. Jadi makan saja apa nak janji halal. Tapi berpada-pada bukannya langsung tak boleh makan doktor. Janganlah condemn saja. “Doktor ikan tak pakai buah pinggang. Dia pakai insang. Mesti doktor tak tahu kan? Ilmu baru untuk doktor hari ini, selamat berbuka! “Sesekali (tegur) okey je Dr. Banyak kali ni rasa macam annoying pula. “Salam doktor, tapi ikan tak ada kaki. Kita nak potong apa?,” komen beberapa warganet.

Walau bagaimanapun, dalam gurauan warganet, masih terselit beberapa komen yang menyokong kiasan Dr Rafidah berikutan komplikasi terhadap kesihatan kita sekiranya pengambilan gula tidak dikawal. “Seram tengok warna (air). Jagalah kesihatan masing-masing. Berpada-pada apa yang akan masuk ke mulut. “Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada segelintir penjual menjual air yang terlalu manis. Pernah beli dan pernah memaklumkan terus kepada penjual. “Apa yang doktor tulis adalah benar. Diabetes bukan boleh dibuat main. Saya pernah duduk wad selama dua bulan sebab terkena kuman tanah, macam-macam jenis penyakit yang dihidapi pakcik-pakcik katil sebelah. Ada yang kena potong tiga jari kaki,” balas netizen pada ciapan asal.

Dr Rafidah pernah menegur menu yang dihasilkan Khairulaming.

Sebelum ini Dr Rafidah juga menjadi sasaran warganet apabila tampil menegur personaliti masakan popular Khairulaming kerana berkongsi cara memasak yang dianggap tidak sihat gara-gara penggunakan minyak berlebihan. Teguran itu merujuk kepada resipi sambal hijau dan telur dadar yang dikongsikan Khairulaming atau Khairul Amin Kamarulzaman untuk resipi pada hari kesembilan berpuasa. Bagaimanapun Dr Rafidah kemudiannya memohon maaf kerana ramai beranggapan dia menuduh Khairulaming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia.

Exit mobile version