Berkat penghujung Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri, Zulin berbaik dengan suami.

Berkat penghujung Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri serta doa orang ramai yang ‘mustajab’ akhirnya menyatukan kembali ikatan perkahwinan pelakon dan pengacara, Zulin Aziz dan suaminya, Farhan Norzaini, 36, yang berada di ambang perpisahan, baru-baru ini.

Dalam hantaran terbaharu di Instagram, Zulin, 34, yang memuat naik foto dua bentuk cincin perkahwinan, berkongsi berita baik yang mana dia dan suami kini sudah berbaik semula serta berterima kasih kepada orang ramai kerana mendoakan mereka.

Berkat doa semua. Kita cuba lagi. Kita boleh jadi lebih baik dari sebelum ini. Kita bagi peluang dan ruang. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Terima kasih mendoakan kami, ujian ini sangat berat tapi hikmah dia sgt indah.

Alhamdulillah. Ada sebab, kenapa ‘post’ (hantaran) itu dibuat. Ada perkara yang berlaku, yang mana tahu saja yang tahu. Alhamdulillah, asbab dan hikmah di sebalik itu,” tulisnya. Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen yang sebelum ini terkejut dengan kisah kemelut rumah tangga dikongsikan Zulin, mengucap syukur dan tahniah kepada pasangan ini kerana tidak mengambil masa lama untuk berbaik semula.

Sementara itu, di Instagram Story pula, Zulin berkongsi luahan hatinya yang mendakwa tidak pernah sekali pun sebelum ini berkongsi apa-apa berhubung masalah rumah tangganya. Tak pernah sekali pun ‘share’ (kongsi) apa-apa pasal masalah rumah tangga. Keadaan sebelum pun baik-baik saja. Seperti yang dilihat, memang tiba-tiba.

Ada sebab ‘posting’ itu dibuat, dan ada hikmah disebabkannya. Tapi saya tak boleh ‘share’ (kongsi) tentang itu. Cukup sekadar yang tahu. Terima kasih mendoakan. Dalam pada kami berdua putus asa. Masing-masing ‘decide’ (memutuskan) untuk berpisah. Ada doa keluarga, sahabat, anda semua, maka kami cuba lagi,” tulisnya.

Pada 17 April lalu, Zulin secara mengejut memuat naik foto pernikahannya dengan suami, Farhan di Instagram berserta keterangan yang membayangkan mereka sudah berpisah. Dia juga kemudian membuat penjelasan lanjut terhadap tindakannya di TikTok dengan alasan mahu mengelak fitnah memandangkan diri seorang ‘public figure’.

Bagaimanapun, selepas mengumumkan dia dan suami kini sudah berbaik, didapati Zulin juga sudah memadamkan hantaran foto perkahwinan dibuat sebelum ini di Instagram dan ‘berganti’ dengan beberapa hantaran lain yang menjurus aura positif.

Zulin dan Farhan melangsungkan pernikahan di Masjid Negara dalam majlis berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (Jawi) pada 20 Februari tahun lalu. Selama 14 bulan berumah tangga, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Exit mobile version