Tak nak terlepas momen anak anak membesar depan mata, Jihan Muse dedah masih belum nak bersara dalam industri

SEJAK hamil anak kedua, pelakon dan pengacara Jihan Muse jarang dilihat memperlahankan karier seninya sehingga ada menyangka dia sudah bersara. Jihan atau Nur Jihan Musa, 40, sebaliknya menegaskan dia masih aktif sebagai anak seni kerana ingin memberi perhatian lebih terhadap dua anak lelakinya yang masih kecil. “Baaru-baru ini ada client jumpa saya tidak mahu memperbaharui kontrak bagi satu produk ini. Apabila saya tanya kenapa, dia memberitahu ada pihak mengatakan saya sudah bersara. Saya belum bersara! Cuma kebanyakan tawaran yang saya ambil tidak memerlukan komitmen yang panjang. Seperti lakonan memang saya tolak buat masa ini demi anak-anak,” katanya.

Jihan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media I Can See Your Voice Malaysia 6 (ICSYVMY) yang diadakan di Cornerstone IPC, Kuala Lumpur pada Khamis. Dalam pada itu, Jihan berkata, dia mahu menjaga sendiri anak-anaknya kerana tidak mahu melepaskan saat-saat melihat mereka membesar di hadapan matanya. Menurut Jihan, mendengar pengalaman daripada rakan artis senior yang kesal lebih mementingkan karier berbanding keluarga membuatkan dia enggan mengulangi kesilapan sama. “Sebenarnya adalah beberapa artis senior yang saya rapat beritahu mereka banyak rugi masa terlepas momen untuk melihat anak-anak membesar.

“Jadi saya ambil perkara itu sebagai pengajaran untuk diri sendiri. Saya fikir kalau asyik sibuk bekerja, mungkin saya pun akan jadi macam tu. Tiba-tiba anak dah besar,” ujarnya. Tambah Jihan lagi, dia mahu mencabar diri sendiri untuk menjadi seorang ibu yang hebat seperti mana dia berjaya melakukan setiap pekerjaannya dengan baik. Malah kata Jihan, suaminya iaitu Ungku Hariz, 38, turut mencabar dirinya sama ada boleh bekerja tetapi dalam masa yang sama bijak menguruskan hal rumah tangga. “Pendorong utama saya sebenarnya adalah suami kerana dia macam mencabar saya juga. Dia beri saya bekerja tapi dia akan tanya boleh ke saya uruskan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

“Saya mahu cabar diri saya sendiri. Saya boleh kerja depan beribu orang, tak ada masalah untuk saya. Tapi dekat rumah, saya tak berapa hebat. Saya rasa saya hebat dengan kerjaya saya, tetapi sebagai ibu saya belum hebat,” jelasnya. Dalam perkembangan lain, Jihan turut berkongsi rasa teruja dapat kembali semula menjadi panel penyiasat tetap dalam program ICSYVMY musim keenam selepas setahun berehat kerana hamil anak kedua. “Tahun lepas sepatutnya saya ada tetapi waktu rakaman saya masih baharu trismeter pertama, saya betul-betul mabuk teruk tak boleh datang kerja itu sebab saya tidak menyertainya musim lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat menyertai semula produksi ICSYVMY yang mana musim kali ini lebih meriah berbanding sebelumnya,” katanya. Selain Jihan, ICSYBMY turut menampilkan Khir Rahman, Ropie dan Baby Shima sebagai panel penyiasat tetap. Dihoskan oleh Izzue Islam dan Shiha Zikir, ICSYVMY bakal bersiaran bermula pada 4 Jun ini, setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di saluran TV3.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version