PEMILIHAN pelakon Ismail Izzani sebagai hero dalam drama terbaharu berjudul Bukan Hanya Sekadar Cinta (TV3) mengundang pelbagai reaksi daripada penonton. Ada yang mempertikaikan pemilihan Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri, 23, yang dikatakan kurang sesuai kerana terlalu muda untuk memegang watak utama. Sehingga ada yang menyamakan wajah penyanyi lagu Luar Biasa itu seperti karakter Nobita dalam siri animasi popular Jepun, Doraemon.
Mengulas mengenai perkara itu, penerbit drama berkenaan iaitu Datuk A. Aida berkata hal itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar. Malah, Aida atau Zaidah Awang, 53, enggan ambil pusing dengan kritikan netizen dan menganggap Ismail adalah seorang pelakon yang berbakat. “Kalau warganet nak cakap dia macam Nobita, terserahlah tapi dia adalah Nobita kesayangan saya sebab lakonannya memang tidak perlu dipertikaikan. “Mail (panggilan Ismail) seorang pelakon yang bagus. Nobita pun Nobita lah. Tapi dia Nobita yang comel. Paling penting lakonannya memang perfect,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam pada itu, Aida turut mempersoalkan tindakan warganet yang dikatakan memilih paras rupa sedangkan dirinya pernah dikritik teruk gara-gara membuat kenyataan mahu mencari pelakon yang kacak dan cantik. Kata Aida, dia memilih Ismail kerana bakat yang dimilikinya dan tidak teragak-agak untuk memberikan tawaran lakonan kepada aktor berkenaan lagi. “Dah dulu semua orang cakap saya ni memilih rupa, sekarang ni ternyatalah A. Aida tidak memilih rupa. Betul tak?”Maknanya warganet lah yang pilih rupa. Bagi saya, saya mementingkan bakat juga. Lakonan Mail memang sampai. Dia seorang pelakon yang natural.
“Saya memang puji sikap dan lakonan Mail dan saya tidak akan teragak-agak untuk mengambilnya berlakon semula,” ujarnya. Sementara itu, Aida juga yakin Ismail tidak mudah melatah atau berkecil hati dengan kritikan yang diterima kerana pelakon itu seorang yang terbuka. “Saya dah mengenali Mail ni lama. Saya tahu dia boleh terima apa saja kritikan. Saya rasa kritikan ini tidak menjadi satu isu kerana tidak boleh memuaskan hati semua orang. “Secara peribadi, saya amat berpuas hati dengan lakonan Mail. Orang nak cakap apa pun biarlah sebab kita tak boleh nak tutup mulut warganet,” katanya.
Selain Ismail, drama 28 episod terbitan A. Aida Production itu turut dibintangi oleh Sofia Dendroff, Dian P. Ramlee dan pendatang baharu, Muaz Zabir. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.