ANAK lelaki pelakon Didie Alias bakal menyarungkan sut milik Ridzuan Hashim pada majlis resepsi perkahwinannya yang bakal diadakan September depan. Didie atau Nur Fadzilah Ali, 52, berkata, keputusan itu dibuat selepas dia dan Muhammad Dhanial berkunjung ke kediaman sewa Ridzuan untuk mengemas barangan peribadi milik arwah baru-baru ini. “Selepas Ridzuan pergi menghadap illahi, kami ke rumah arwah untuk kemaskan pakaiannya miliknya dan tak susah mengemas barang-barang kerana arwah memang seorang yang rapi dan pembersih.
“Semua pakaian miliknya tersusun rapi di dalam almari malah baju kemaja T pun dia gosok. “Ada satu sut Dhanial cuba pakai dan kebetulan memang muat untuk dia. Jadi, dia ambil keputusan untuk menggayakan sut berkenaan ketika majlis kenduri di Kuala Lumpur nanti,” katanya. Didie berkongsi mengenai perkara itu sewaktu ditemui pada sidang media Temu Jelatek The Event Space yang diadakan pada petang Khamis. Dalam pada itu, Didie berkata, majlis resepsi anak lelakinya itu bakal ditaja oleh Temu Jelatek The Event Space yang bernilai RM500,000. Kata Didie, Dhanial terkejut dengan tawaran tersebut namun menyifatkan ia sebagai rezeki kerana telah menjaga bapanya sehingga ke akhir hayat.
“Dia orang terakhir dengan arwah. Dia pun terkejut apabila ada pihak mahu menaja perkahwinannya sebab katanya dia bukan siapa-siapa. “Saya beritahu ini adalah rezeki kerana dia berbakti menjaga bapanya. Ini mungkin balasan Allah untuk kebaikan yang pernah dilakukan,” ujarnya. Berkongsi lanjut mengenai majlis itu nanti, Didie memberitahu dia ingin membuat kelainan untuk pasangan mempelai dengan berarak menaiki LRT dari stesen Setiawangsa ke stesen Jelatek sebelum terus ke dewan utama.
“Oleh sebab lokasi majlis nanti berdekatan stesen LRT Jelatek, jadi saya mahu anak saya berarak dari Setiawangsa terus ke Jelatek. “Secara tidak langsung saya mahu orang ramai tahu lokasi tempat perkahwinan ini strategik dan boleh diakses menerusi pengangkutan awam,” katanya. Pada 20 Mei lalu, Dhanial selamat bergelar suami kepada Nurkhairunisa Zulkifli di Tawau, Sabah. Ridzuan, 62, pula meninggal dunia pada 4 Mei di kediamannya ketika sedang bersarapan akibat serangan jantung.
Untuk rekod, Didie dan Allahyarham Ridzuan pernah mendirikan rumah tangga pada tahun 1991 namun rumah tangga mereka hanya bertahan sehingga 2002. Selain Dhanial, mereka dikurniakan empat lagi cahaya mata perempuan iaitu Nur Dhaniyah, 30, Nur Dinie, 27, Nur Danie, 25 dan Nur Diana, 24. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.