Walaupun kisah perceraian Adibah Abdul Mutalib, 50, yang juga bekas madu pelakon, Miera Leyana dengan suami, Rosland Othman, 50, sudah selesai beberapa hari lalu, namun ia masih hangat di media sosial. Banyak laporan berita berkaitan perceraian itu dikongsikan, termasuk video Adibah yang ditemubual media ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Adibah berkata, dia reda dengan perceraian dilaluinya itu walaupun jauh di lubuk hatinya dia masih tertanya-tanya kesilapan apa sudah dilakukan terhadap bekas suami sehingga diceraikan. Saya sudah reda dengan keputusan perceraian ini kerana sudah berusaha untuk cuba mempertahankan rumah tangga dibina selama 28 tahun. Tapi, kesudahannya begini dan Allah Maha Tahu.
Saya percaya Allah juga mahu memberikan yang terbaik untuk saya dengan semua yang berlaku ini walaupun saya tidak tahu apa kesalahan diri yang sebenarnya hingga membawa perceraian,” katanya kepada Harian Metro.
Adibah yang ingin terus melangkah membina kehidupan baharu berkata, dia sedar perlu kuat semangat untuk bangkit semula. Katanya, dia bersyukur banyak mendapat sokongan positif daripada anak-anak, keluarga dan kenalan rapat yang sentiasa bersamanya.
Khamis lalu, Adibah sah diceraikan talak satu oleh suaminya juga ahli perniagaan, Rosland di hadapan hakim Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pasangan ini yang mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 sudah hidup bersama selama 28 tahun dan dikurniakan lima anak perempuan berusia 11 hingga 26 tahun.
Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai difailkan Rosland itu kerana masih sayang dan mahu menyelamatkan perkahwinan yang sudah lama mereka bina.
Justeru, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian berkenaan. Pada Julai 2020, Rosland berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.