Kemahiran itu menjadikan seorang wanita berbangsa Cina menarik perhatian netizen terutama pengguna TikTok selepas video memaparkan dia fasih menguasai bahasa Melayu dan dialek Kelantan tular.
Berbekalkan wajah comel dan manis, kebolehan berkomunikasi yang dimiliki Wee Yun Nee atau lebih mesra disapa Mek Yun menjadikan dirinya semakin dikenali terutama di TikTok.
Menurut anak bongsu dari tiga beradik ini, selain fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan dialek Kelantan, dia juga menguasai bahasa Thailand dan Hokkien dengan baik.
Bercerita lanjut mengenai kelebihannya itu, Mek Yun berkata, sejak kecil dia dibesarkan dalam komuniti Melayu selain dihantar ibu bapanya ke Tabika Kemas, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.
Bukan saya saja, tetapi kami sekeluarga semuanya fasih kerana kebanyakan jiran adalah orang Melayu. Saya juga pernah menetap di Kelantan hampir tiga tahun ketika di sekolah rendah. Sebab itu saya pandai bertutur dalam dialek Kelantan,” katanya.
Mek Yun yang aktif di TikTok dan Instagram itu sering berkongsi pelbagai jenis kandungan video sama ada mengenai dirinya atau realiti kehidupan anak muda masa kini.
Namun, menurut bekas penuntut bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) itu, sebagai pempengaruh media sosial, dia turut terdedah dengan pengalaman menakutkan.
Katanya, dia pernah diekori seorang lelaki dipercayai warga asing ketika berjalan bersama ibunya di pusat beli-belah di ibu negara, baru-baru ini.
“Saya hampir nak berdepan dengan dia, nak rakam, tapi dia terus pergi. Saya harap wanita lain berhati-hati terutama apabila bersendirian. Apa perlu buat ialah masuk kedai paling dekat dan maklumkan kepada pekerja lelaki yang ada untuk membantu.
“Jika ada pengawal keselamatan, maklumkan untuk mendapatkan bantuan. Jangan jalan seorang diri terutama ke tempat letak kereta,” katanya.
Mek Yun berkata, kesilapannya adalah tidak membuat laporan polis dan menyarankan wanita yang berdepan situasi sama untuk tidak mengulangi kesilapannya.
Bercerita mengenai pembabitannya sebagai pempengaruh media sosial, Mek Yun berkata, dia mula fokus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dengan menghasilkan pelbagai kandungan kreatif.
Katanya, video yang dihasilkannya bukan semata-mata berbentuk hiburan, tetapi turut disuntik dengan elemen yang mampu memberikan sumber inspirasi kepada pengikutnya.
“Memandangkan saya mempunyai minat mendalam dalam bidang hiburan, saya mengambil keputusan untuk melepaskan kerja tetap,” katanya yang baru saja tampil sebagai hos program MBuzz di TV3.
Selain itu, Mek Yun juga sudah bergelar pelakon apabila tampil dalam drama bersiri BARISTA: Misi Terpaling Sulit bersama Sherry Alhadad, Kamal Adli, Nadia Brian, Zarul Umbrella dan ramai lagi. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.