BEKAS pemain bola sepak kebangsaan iaitu Safee Sali dipilih menjadi personaliti jemputan stesen radio Era mengendalikan segmen baharu ‘Super Safee ERA’ bersiaran setiap hujung minggu. Safee atau Mohd Safee Mohd Sali, 39, berkata dia tidak menyangka menerima tawaran daripada radio berkenaan sehari selepas mengumumkan bersara dalam arena bola sepak. Kata Safee, dia bersama pihak pengurusan mengambil masa agak lama untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan. “Tawaran ini hadir selepas saya bersara tempoh hari. Saya pun terkejut Era memanggil saya untuk berbincang sehari selepas saya bersara.
“Sudah tentu saya berfikir dahulu sebelum menerima tawaran. Banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan… daripada bidang sukan terjun pula ke radio,” katanya. Safee berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun ke-25 radio Era yang diadakan di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Jumaat. Super Safee ERA merupakan segmen yang berkongsi info terkini berkaitan sukan tempatan dan antarabangsa yang merangkumi berita, topik perbualan dan temu bual bersama tetamu undangan dari dalam dan luar bidang sukan.
Segmen tersebut akan ke udara mulai 12 Ogos, setiap hari Sabtu, pukul 10 pagi. Tambah Safee lagi, menerusi segmen yang akan dikendalikan, dia tidak hanya mengulas tentang sukan, malah tetamu yang bakal diundang juga tidak terhad kepada ahli sukan sahaja. “Tetamu undangan saya tidak terhad kepada ahli sukan dan saya sudah bersedia untuk menyelitkan unsur hiburan dalam segmen berkenaan. “Saya akui tidak mudah untuk saya bercakap tentang hiburan kerana ia bukan bidang saya. Namun, saya akan cuba melakukan yang terbaik dan berharap pendengar dapat menerima percubaan saya bersiaran di radio ini,” ujarnya.
Selain Super Safee Era, Era FM turut memperkenalkan segmen baharu hujung minggu termasuk Seram Sabtu Era iaitu kisah seram perkongsian daripada pendengar yang akan disampaikan oleh personaliti misteri, Throwbaek Era dan Soundtrek Era. Dalam perkembangan lain, Pengurus Kandungan Era iaitu Hani Fadzil turut mengulas mengenai spekulasi berkaitan kedudukan stesen radio itu di Malaysia. Ini selepas ada sebuah stesen radio swasta mendakwa mereka memegang kedudukan stesen radio nombor satu di Malaysia.
Kata Hani, jumlah pendengar ditentukan oleh GfK’s iaitu Pengukuran Pendengar Radio yang melakukan kaji selidik sebanyak dua kali setahun. “Ramai yang tertanya-tanya dan ramai juga yang keliru berkenaan dengan kedudukan stesen radio terkini.”Apa yang boleh saya jelaskan, sebanyak dua kali survey akan dijalankan kepada stesen-stesen radio dan menurut keputusan GFK, memang radio Era adalah radio nombor satu dengan 5.7 juta pendengar setiap minggu,” jelasnya.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.