PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan dirinya berdepan masalah peti suara semasa merakamkan album ke-20 berjudul Sitism. Mengakui sukar untuk masalah peti suara itu sembuh, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata dia reda sekiranya bakat yang dimiliki itu ditarik sedikit demi sedikit. “Bila kata akan terus menyanyi, kita tidak tahu sampai bila kita akan terus menyanyi. “Saya memang reda, sampai satu ketika memang lama sangat nak pulih semula… saya dah reda kalau Allah nak tarik sikit. “Kalau pada usia saya 40an ini suara saya nak kasar ke, serak ke, saya okay sahaja. Menyanyi ikut kemampuan. Saya memang positif sahaja,” katanya.
Siti berkongsi perkara itu semasa ditemui di sidang media pelancaran album Sitism yang berlangsung di The Face Suite Kuala Lumpur pada petang Rabu. Berkongsi mengenai rakaman album Sitism, Siti berkata pembikinan penuh mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana masalah peti suara itu. Memandangkan masalah kesihatannya itu membimbangkan dan berlarutan lama, dia juga mengambil kesempatan berdoa di depan Kabbah semasa Ramadan lalu bagi mendapat kesembuhan segera. “Kak Rozie (pengurus) yang nak tentukan saya sihat. Saya berjumpa pakar dan doktor berkali-kali. Nak boleh sihat terus itu pun memang ambil masa juga.
“Bila saya nak sihat anak pula sakit dan saya pula yang terpaksa menjaganya. Sebagai penyanyi suara kita adalah aset kita, risau juga sebab banyak komitmen kerja. Saya berserah kepada Allah sahaja. Pada Ramadan lalu saya berdoa di depan Kaabah agar diberi kesembuhan secepatnya,” ujarnya. Dalam pada itu, Siti berkata dia enggan mengambil pusing kata-kata warganet yang membandingkan suaranya tidak sama seperti sebelum ini. “Sebelum ini ada juga peminat bercakap-cakap mengenai perubahan suara tersebut tapi itu bukan satu benda yang saya ambil berat. Apa Allah nak beri, Allah beri. Kalau Allah nak tarik dia tarik!
“Kita kena sentiasa bersyukur dan positif sahaja selebihnya saya buat ikut kemampuan. Album ini pun semampunya saya hasilkan,” luahnya. Sitism pertama kali dilancarkan secara digital mengandungi lapan lagu pada 30 Jun lalu dan lengkap 12 lagu sepenuhnya pada 8 September. Lagu dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan. Album ini juga memuatkan 12 lagu yang turut menghimpunkan komposer dan penulis lirik dari dalam dan luar negara.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.