JIKA sebelum ini masalah kesihatan Zamani kurang baik akibat masalah tulang belakang namun penyanyi itu sudah bersedia memberikan komitmen berentap dalam pertandingan All Stars Gegar Vaganza. Zamani atau Zamani Ibrahim, 53, berkata, keadaan kesihatannya kini sudah meningkat sebanyak 80 peratus dan akan cuba memberi persembahan terbaik dalam pertandingan yang sudah membuka tirai sejak Ahad lalu. “Sebelum ini saya berdepan masalah kesihatan, nak berdiri tegak pun tak boleh.
“Tapi sekarang kesihatan saya sudah lebih baik sebanyak 80 peratus, saya sudah bersedia,” katanya. Zamani berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas konsert minggu pertama All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad lalu. Bekas anggota kumpulan Slam itu antara enam peserta Hot Seat yang terpilih berentap bersama 10 bekas juara Gegar Vaganza. Selain Zamani, turut terpilih adalah Ezad Lazim, Tomok, Liza Hanim, Suki Low dan Nikki Palikat. Dalam pada itu, penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu memberitahu bagi memastikan dapat memberikan tumpuan kepada GV, dia terpaksa menolak daripada menerima sebarang undangan persembahan buat masa ini.
Bukan sahaja mahu memberi fokus tetapi sebagai langkah berjaga-jaga agar kesihatannya tidak kembali merosot akibat tekanan. “Komitmen dan disiplin itu sangat penting dan stamina kena jaga… Sebab itu saya kurangkan persembahan dan ada yang saya terpaksa tolak untuk tiga, empat minggu pertama,” ujarnya. Berkongsi formula untuk memberikan persembahan yang terbaik, Zamani berkata dia hanya fokus kepada diri sendiri dan kurangkan bercakap dengan orang lain sebelum persembahan.
“Saya ini kuat gugup, jadi sebelum persembahan saya kurangkan bercakap dan fokus kepada diri sendiri,” ujarnya. Untuk rekod, Zamani sebelum ini menjalani operasi tulang belakang akibat penyakit scoliosis pada November 2022. Ketika ditemu bual, dia mengakui bahawa masih lagi merasa kesakitan tersebut selepas hampir enam bulan menjalani operasi. Menurutnya, ini kerana dia gagal menjalani rawatan fisioterapi yang telah ditetapkan oleh doktor.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.