Pelakon Azri Iskandar memaklumkan dirinya kini tidak lagi memilih watak berbanding sebelum ini. Memetik laporan Harian Metro, Azri berkata sedemikian kerana sedia maklum dengan keadaan industri seni yang menjadikan pelakon tiada kuasa untuk memilih tawaran yang sesuai. “Sebenarnya tawaran berlakon jarang ada. Jadi, kalau ada memang saya akan buat walaupun watak itu banyak yang macam berulang-ulang. Sama macam watak yang saya tengah buat sekarang, cuma saya cuba buat yang terbaik.
“Diakui dulu banyak tawaran. Kadangkala, satu masa saya kena pilih yang mana bagus. Malah kadangkala juga saya cadangkan ambil pelakon lain yang bagus kerana tengah bekerja dengan projek lain. Sekarang dah tiada. Sekarang projek memang kurang. Yang ada pun watak ayah. Di Malaysia faham-fahamlah watak ayah orang tak ‘highlight’ sangat. Ia dah jadi kategori pembantu sahaja,” ujarnya kepada Harian Metro. Malah, Azri juga berkata persaingan antara pelakon juga semakin banyak sekarang.
“Pelakon-pelakon senior yang jadi ayah pun bagus-bagus. Itu tak termasuk pelakon yang lain-lain lagi. Ia juga bergantung kepada nasib dan faktor rezeki. Kita kenalah bagi hasil kerja yang bagus. Tanggungjawab kita kena bagi kerja yang memuaskan hati dari segi lakonan, ketepatan jadual, disiplin dan sebagainya. Semua diambil kira. Saya kini dah pergi kepada cari rezeki dan kewangan.
Dari sudut apa pun, orang nak cakap apa pun, terpulanglah. Bukan salah saya pun. Pilihan yang ada itu sahaja. Watak korporat pun kalau ditawarkan saya ambil. Kalau saya tolak saya tiada wang, tiada kerja. Itu yang dikatakan tiada pilihan,” katanya. Dalam pada itu, pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam ini berkongsi bahawa dia masih mengimpikan watak hero. “Di luar, kalau Bollywood umur macam sayalah bawa hero seperti Amir Khan, Shahrukh Khan dan Salman Khan, manakala di Hollywood pun Brad Pitt semua sebaya saya. Namun kalau di Malaysia mereka jadi ayah.
“Kita sanjung cerita Hindi dan bila tengok menangis-nangis. Itu formula dah ada. Hero semua sebaya saya. Di sini dah jadi lain. Cerita kita tak ‘highlight’ usia 40-an dan 50-an. Manusia ada banyak fasanya. Pengisian cerita pada usia begitulah yang penulis skrip kena tulis. Istilah Hero Tua dah sampai masanya perlu ditukar. Kita kena beritahu penonton, memang nak bagi peringkat usia ini pula naikkan sebagai isu utama. Tak timbul istilah Hero Tua,” kongsinya lagi.
Sumber: Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.