LULUH hati seorang isteri apabila suami tersayang memilih untuk berpisah selepas tiga tahun menjalani kehidupan bersama. Lebih memilukan lagi apabila keputusan itu dibuat selepas mereka baru sahaja menimang cahaya mata, lima bulan lalu. Menurut isteri yang berusia 31 tahun itu, selepas bersalin, suami memberitahu sudah tidak sayangkan dirinya lagi kerana menghidap penyakit diabetes atau kencing manis.
“Saya tengah sedih ni sebab suami cakap dah tak berminat nak teruskan perkahwinan. Pada mulanya saya syak dia ada perempuan lain tapi alasan dia bagi buatkan saya terkejut. Dia cakap saya tak sayang diri sendiri sampai kena diabetes pada usia sekarang. Dia cakap tu penyakit orang tua dan dia macam geli bila tahu saya ‘sangkut’ diabetes. Yang dia tahu diabetes tak lama lagi kudung sana sini, penyakit orang kuat makan. Padahal dia sendiri tahu saya jaga makan macam mana dan saya tak gemuk,” ujarnya dalam satu luahan di laman X.
Berdasarkan penceritaannya, dia dimaklumkan oleh doktor menghidap diabetes atau Gestational Diabetes Mellitus (GDM) sewaktu mengandungkan anak mereka. Memandangkan si suami tidak pernah menemaninya setiap kali membuat pemeriksaan kandungan, dia cuba menjelaskan mengenai punca GDM. Namun, usaha menerangkan bahawa penyakit ini bukan berpunca kerana ‘kuat makan’ semata-mata hanya sia-sia apabila suaminya sudah tawar hati terhadap dirinya.
“Sebenarnya saya sangkut diabetes sebab GDM masa mengandung. Mak ayah pula memang penghidap diabetes jadi doktor cakap kadang-kadang akan sangkutlah masa mengandung. Sebenarnya selepas bersalin masa buat ujian air gula memang sah diabetes. Penyakit ni tak nak hilang jadi saya terpaksa hidup sebagai pesakit kencing manis. Sampai ke matlah saya kena hidup dengan diabetes ni. Saya sudah terangkan banyak kali tapi dia masih macam tawar hati. Sedihlah macam ni. Apa salah saya. Saya kena diabetes sebab mengandungkan anak dia juga,” ujarnya lagi.
Hantaran yang dikongsikan oleh wanita malang ini mengundang perhatian warganet yang rata-rata bersimpati dengan nasibnya. Jika diteliti ruangan komen, rata-rata mencadangkan supaya wanita ini tinggalkan sahaja suaminya yang dianggap tidak bertanggungjawab. “Alasan saja tu sis. Saya pun kena GDM. Dua kali mengandung, dua kali kena. Suami yang tolong jaga makan saya. Itu alasan je dia nak tinggal, jadinya awak buat tak peduli dan tinggalkan dia.”
“Suami memang tak nak awak dah kak. Diabetes tu alasan dia je. Sudah la… angkat kaki je la. Kahwin ni seumur hidup. Susah dan senang nak hadap sama-sama. Baru sakit sikit suami kau dah macam ada masalah dunia sangat. Lain kali jangan kahwin dengan lelaki b*d*h.”
“Kasihan pengadu. Kuat tau. Yang penting sekarang, jaga diri dan kesihatan elok-elok. Diabetes boleh patah balik selagi belum teruk. Kena jaga diri ya sebab anak pun kecil lagi. Suami tu kalau dia sudah tak nak, awak tinggalkan je. Memang tak mudah… tapi orang sudah tak nak, nak buat macam mana,” komen warganet pada posting berkenaan. Untuk makluman, diabetes semasa hamil atau GDM dihidapi wanita mengandung yang tidak menghidap penyakit kencing manis namun paras gula lebih tinggi daripada normal.
Oleh itu, selain perlu menjaga pemakanan bagi mengelakkan bayi dalam kandungan bersaiz besar, rutin pemeriksaan kesihatan juga perlu dilakukan dengan lebih kerap. Ini bagi mengelakkan daripada bayi bakal lahir turut berisiko berdepan masalah kesihatan seperti pernafasan tidak normal, kadar glukosa rendah mahupun bayi lahir mti.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.