SELEPAS berjaya mendapatkan semula bentuk badan yang lebih langsing, pelakon Tiz Zaqyah berdepan pelbagai tuduhan daripada netizen yang mempersoalkan perubahan fizikalnya. Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 38, berkata dia bekerja keras untuk mendapatkan semula bentuk rahang dan tulang pipi yang sebelum ini kelihatan kurang menyerlah akibat pertambahan berat badan.
Menurutnya, perubahan tersebut membuatkan dia kini lebih selesa mengenakan pelbagai jenis pakaian termasuk busana lama yang sebelum ini tidak lagi muat dipakai. “Sekarang saya sudah boleh memakai semula semua seluar dan pakaian bersaiz XS hingga S. Dahulu saya tidak pernah selesa melihat diri sendiri kelihatan bulat seperti bulan apabila menonton semula drama lama,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Dalam hantaran sama, Tiz turut berkongsi beberapa foto yang memaparkan perubahan fizikalnya sepanjang bergelar pelakon. Berkongsi pengalaman ketika mempunyai tubuh lebih berisi, Tiz berkata dia pernah berdepan kesukaran untuk mendapatkan pakaian yang sesuai ketika menjalani penggambaran. Malah, dia mendakwa pernah kehilangan beberapa tawaran iklan dan lakonan kerana bentuk badannya ketika itu.
“Ketika penggambaran, saya selalu berdepan kesukaran mencari pakaian yang muat. Pernah sekali zip skirt saya pecah ketika memakai pakaian tajaan. Mujurlah penerbit memahami keadaan dan mengatakan tidak mengapa. Akhirnya, saya kembali mempunyai bentuk pinggang seperti dahulu. Jadi, komen-komen sebegini memang agak menjengkelkan. Jangan lupa, saya pernah kehilangan banyak tawaran iklan dan kerja lakonan kerana dianggap ‘gemuk’, ‘tidak kurus’, ‘tembam’ dan tidak cantik di hadapan kamera,” luahnya.
