Berjaya Tioman Resort dijadualkan membuka semula pintunya dan mengalu-alukan tetamu pada 25 April 2022. Resort ini baru-baru ini menjalani pengubahsuaian selama berbulan-bulan untuk menambah-baik semula bilik dan kemudahannya sejak ditutup pada 2020. Dengan memiliki pantai persendirian yang dikelilingi pokok palma, perairan yang jernih dan pergunungan berkabus di sekelilingnya, Berjaya Tioman Resort telah menjadi kegemaran sejak sekian lama untuk pencinta pantai, penyelam, serta pemain golf.
Pembukaan semula Berjaya Tioman Resort ini turut menampilkan restoran baharu bernama ‘Asean All Day Dining’. Restoran ini mempunyaipemandangan tepi pantai, menawarkan pelbagai kegemaran gabungan masakan dan antarabangsa . Untuk meningkatkan pengalaman tetamu dan meraikan pembukaan semulanya, resort ini menawarkan penjimatan sebanyak 15% ke atasnya Pakej Infinite Getaway dan 20% penjimatan pada Kadar Fleksibel Terbaiknya. Pakej The Infinite Getaway yang berharga dari RM1,499, kini boleh ditempah daripada RM1,275.
Pakej ini termasuk penginapan dua malam, makanan harian tanpa had seperti sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam. Pengangkutan ulang-alik percuma dari Jeti Tekek ke resort. 100 tempahan pertama juga akan menerima Rawatan Spa Aromaterapi, penggunaan sekali kayak dan penyewaan basikal percuma. Untuk maklumat lanjut tentang resort dan untuk menempah tawaran istimewa pra-pembukaan, lawati tioman.berjayahotel.com/. Sumber: mstar
Sering Dapat Harga Mahal Ketika Membeli Cenderamata. Ketahui 5 Tips Untuk Dapatkan Harga Murah Ketika Melancong.
Membeli cenderamata ataupun ole-ole sudah menjadi kewajipan ketika pulang dari melancong. Kadangkala seringkali rasa takut untuk membeli kerana harganya yang terlampau tinggi sehinggakan anda terpaksa fikir dua kali untuk membelinya. Berikut adalah 5 tips yang boleh digunakan untuk pastikan harga cenderamata jauh lebih murah menurut IDN Times.
Berkomunikasi Dengan Cara Yang Sopan Dan Ramah
Keakraban antara pelancong dan penjual akan muncul walaupun melalui perbualan kecil terutamanya jika pelancong boleh menggunakan bahasa tempatan dari kawasan yang mereka kunjungi. Sekiranya pendekatan ini berjaya, penjual kadang-kadang tidak teragak-agak untuk menurunkan harga jualan cenderamata kepada pelancong.
Tawar Menawar Untuk Harga Yang Dimahukan
Menurut IDN Times, di beberapa lokasi yang menjual cenderamata, tawar menawar telah menjadi amalan biasa antara penjual dan pelancong. Lebih-lebih lagi jika pelancong pandai menawar harga sehingga mencapai harga yang dimahukan. Pasti tips yang ini dapat menjimatkan perbelanjaan semasa percutian.
Tanyakan Cadangan Daripada Penduduk Setempat
Sekiranya anda mempunyai kenalan yang tinggal di kawasan yang anda kunjungi, tanyakan cadangan untuk kedai cenderamata murah. Mungkin anda boleh tanyakan pendapat daripada penduduk setempat mengenai kedai yang paling murah dan sesuai untuk membeli cenderamata.
Membeli Dengan Peniaga Kecil
Menurut IDN Times, biasanya kedai cenderamata berskala kecil selalu mengenakan harga yang lebih berpatutan daripada kedai yang sudah mempunyai jenama. Inilah yang dapat digunakan oleh pelancong untuk mendapatkan cenderamata dengan harga yang lebih rendah.
Membandingkan Harga Dengan Kedai Yang Lain
Mungkin tips ini agak memakan masa, tetapi percayalah hasilnya anda akan berpuas hati. Buatlah survey dahulu dengan membandingkan harga dari satu kedai ke kedai yang lain. Pasti anda tidak menyesal kerana anda telah berjaya membuat pemilihan yang paling tepat. Jadi untuk anda yang merancang untuk melancong dan membeli cenderamata kenangan daripada tempat yang anda kunjungi bolehlah cuba tips di atas sebagai panduan. Selamat Mencuba! Sumber: murai.my
Makanan Jadi Mahal Di Kawasan Tumpuan Pelancong. Ini Antara 5 Sebab Mengapa Harga Makanan Mahal Di Kawasan Pelancongan Anda.
Kisah ‘siakap viral’ masih menjadi perbualan ramai sehingga hari ini dan bukan nak menyebelahi mana-mana pihak, sebagai seorang yang selalu travel, ada beberapa perkara yang sentiasa perlu diambil kira untuk dimasukkan kedalam kos perjalanan. Salah satu daripadanya adalah kos untuk makanan. Kalau fikir logik, lagi kerap korang makan, lagi banyaklah perbelanjaan yang dikeluarkan, itu belum lagi faktor lokasi atau jenis makanan yang dimakan.
Namun, pengalaman mengembara ke negara-negara lain termasuk destinasi tumpuan pelancong yang ada di Malaysia ni pun, ada satu persamaan yang boleh dikatakan berlaku di hampir kesemua destinasi yang terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong atau kawasan pelancongan iaitu harga barangan dan makanan akan lebih mahal daripada biasa.
Kita ambil contoh mudah, harga air mineral di kedai biasa katalah RM2, tetapi kalau kita ke kedai yang ada di dalam taman tema atau dijual di tempat tarikan pelancong, mesti harga akan dinaikkan sedikit, boleh jadi RM3, kadang-kadang ada yang jual sampai RM5! Tapi nak buat macam mana, sebab itu sahaja yang ada, maka terpaksalah jugak beli. Berbalik pada isu harga yang mahal ni, sebenarnya ada beberapa faktor yang menyebabkan harga di tempat tumpuan ni sebegitu, antaranya adalah :
1. Kadar Sewa Mahal
Umum ketahui, sekiranya kawasan tersebut menjadi tarikan para pelancong pastinya kawasan tersebut akan dikenakan harga sewaan yang tinggi. Menurut perkongsian ini, kadar sewaan kedai atau gerai di kawasan pelancongan merupakan yang paling tinggi berbanding kawasan lain. Jadi, untuk memastikan pulangan wang modal, peniaga-peniaga terpaksa menggandakan harga barangan. Nama pun berniaga, mana ada orang meniaga nak rugi kan.
2. Lokasi
Sebahagian daripada lokasi atau destinasi pelancongan ni bukan terletak di kawasan bandar, ada yang di atas pergunungan, di pulau dan sebagainya. Jadi, peniaga-peniaga perlu mengeluarkan kos yang lebih untuk pengangkutan selain perlu memenuhi permintaan pelancong yang kesana. Selain lokasi yang kadangkala terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa yang lebih lama untuk menerima bekalan, ada antara makanan ini perlu dipastikan tahap kesegarannya jadi dekat sinilah peniaga akan ‘main harga’ untuk memastikan mereka tidak rugi.
3. Kos
Selain dari dua faktor sebelum ini, kos yang lebih tinggi adalah punca barangan terpaksa dijual lebih mahal daripada biasa. Antara kos yang selalunya kita tak nampak adalah kos operasi, yang mana mungkin tuan kedai terpaksa mengeluarkan lebih banyak modal untuk membayar pekerja, minyak untuk lori penghantaran dan lain-lain. Salah satu contoh mudah, bandingkan sahaja harga keropok di ‘bawah’ berbanding harga keropok yang dijual di kawasan tanah tinggi, Genting Highlands misalnya.
4. Faktor Musim
Kalau korang nak tahu, sektor pelancongan pun ada musim tau. Biasanya sering dipanggil sebagai low-season atau peak-season. Biasanya musim ini ditentukan dengan jumlah kedatangan pelancong ke sesetengah kawasan pelancongan tersebut. Kalau dekat negara kita sendiri, korang boleh jumpa dua harga pada hotel, iaitu harga musim puncak atau harga biasa.
Biasanya bila tiba waktu puncak ni, kedai-kedai akan tak menang tangan untuk melayan pelanggan, jadi mereka akan mengenakan harga tinggi sesuai dengan permintaan. Bila permintaan berkurang, barulah harga akan diturunkan seperti biasa. Ini perkara biasa dalam dunia perniagaan.
5. Psikologi Perniagaan ‘Sekali’
Biasanya, model perniagaan yang diterapkan ditempat yang menjadi tumpuan pelancongan ni adalah pembeli ‘sekali’. Dalam erti kata lain, pelancong yang datang tidak mungkin atau berkemungkinan kecil sahaja akan membuat pembelian kali kedua yang biasa dipanggil repeat customer. Jadi bila tidak bergantung kepada pelanggan yang membuat pembelian semula ini, pekedai akan mengambil peluang ini dengan sengaja meletakkan harga yang tinggi selain biasanya pelancong yang tengah seronok bercuti ni, jarang dia nak berkira. Lebih-lebih lagi kalau bab makan. Betul tak?
Sebagai kesimpulan dekat sini, korang yang pergi bercuti tu kena pandai semak atau bandingkan dahulu harga semasa dan harga di tempat percutian korang tu. Kalau melampau sangat, boleh je cuba cari tempat yang lebih murah. Tapi, mengikut pengalaman lah kan, kalau satu kedai jual harga itu, seluruh peniaga dalam kawasan yang sama juga akan meletakkan harga yang lebih kurang, tak ada yang akan ‘buang’ harga. Tak percaya? Lepas ni kalau korang pergi bercuti mana-mana, cuba survey harga mana-mana barang.