Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Amy Mastura mendedahkan rahsia badannya kekal ramping kerana jarang makan nasi semasa mengandungkan anak pertamanya, Adriana sejak 20 tahun lalu. Menurutnya dia tidak kisah dan tidak mempunyai apa-apa simptom apabila tidak mengamalkan makan nasi seperti individu lain. “Sejujurnya saya memang kurang makan nasi. Semasa mengandung Adriana, saya alah dengan bau nasi dan sejak itu keinginan untuk makan nasi dah hilang. “Entah kenapa saya tak suka dengan bau nasi. Namun saya masih makan nasi tapi kuantitinya tak banyak sangat. Kalau makan pun dua tiga sudu sekadar nak campur dengan lauk.
Katanya lagi “Kalau tiada nasi pun tiada masalah bagi saya dan digantikan dengan apa-apa pun okay. Tapi rasa manis kena ada. Saya amat menggemari kek coklat dan mujurlah tiada penyakit diabetis,” katanya. Terdahulu Amy, 51, mencetuskan kekaguman dikalangan peminat kerana dikatakan awet muda kerana wajahnya yang tidak makan usia.
Dia pernah berkongsi gambar perkahwinannya dengan suami, Alvin Tham Suffian sekitar tahun 2000 sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-21, dua tahun lalu dan rata-rata peminat kagum kerana wajahnya kelihatan muda berbanding usia sebenarnya. Amy juga pernah mendedahkan sikap kelakarnya yang suka bergurau dengan Alvin menjadi petua awet muda serta kebahagiaan rumah tangga mereka yang kini sudah memasuki usia 22 tahun. Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan iaitu Adriana, 21, dan Adalia, 18. Sumber, harian metro
Sejak mula mengorak langkah dalam industri seni sekitar awal 1990-an vigura bernama Amy Mastura Suhaimi masih kekal bertahan sehingga kini. Salah satu fakta menakjubkan buat pelakon dan penyanyi yang mesra disapa Amy itu. Ketika ramai artis seangkatannya perlahan-lahan menarik ‘brek’ untuk berhenti, Amy masih kekal relevan dalam industri baik dalam nyanyian mahupun lakonan. “Saya masih lagi berpegang pada prinsip seperti dulu iaitu lebih selesa tenang, positif dan mengikut arus. “Tiada apa-apa kebimbangan atau dikejar kerana saya ada segalanya-galanya iaitu karier, keluarga dan kesihatan yang baik. “Sekiranya ada tawaran berlakon dan menyanyi, saya ambil, jika tiada duduklah di rumah buat aktiviti sendiri. Mudah saja perkiraannya,” katanya.
Amy, 51, berkata, dia beruntung kerana kariernya sentiasa disokong oleh kelab peminat Amy Mastura (AMFC) yang sentiasa berusaha menyemarakkan kerjaya seninya. “Mereka (ahli-ahli) yang menggerakkan dan saya hanya meluangkan masa. Alhamdulillah…Tanpa AMFC tiadalah aktiviti yang dijalankan. “AMFC satu komuniti yang tenang. Mereka boleh sahaja meminati artis lain dan tak terikat dengan AMFC semata-mata. “Sesiapa pun boleh sertai AMFC dan apabila ada aktiviti akan dimaklumkan menerusi media sosial seperti Instagram. Peminat artis lain kalau nak sertai pun dialu-alukan,” katanya.
Menurutnya, hubungan mereka bukan sekadar terbatas sebagai artis dengan peminat bahkan melangkaui sebagai satu keluarga. “Kami dah jadi sebagai kawan-kawan yang selalu berkomunikasi untuk eratkan tali silatulrahim. Dulu ada kalangan mereka yang kecil, tapi sekarang dah berkeluarga dan ada anak. “Mana tahu tak lama lagi mereka bawa cucu pula. Saya rasa bersyukur bersama mereka. Bukan nak bangga tapi rasa seronok kerana kita sebagai penyebab untuk mereka rasa gembira. Itu sahaja perasaan saya. “Alhamdulillah…saya masuk mana-mana program pasti mereka sokong. Walaupun jumlahnya tak ramai berbanding dulu, tapi mereka setia dan bersatu padu,” katanya ketika hadir pada majlis Santai Aidilfitri AMFC baru-baru ini.
Pada program yang berlangsung di Astana Putra, UPM Serdang itu, pelbagai aktiviti menarik dijalankan yang bertujuan memupuk kemesraan sesama mereka. Ibu kepada Adriana, 21, dan Adalia, 18, berkata, aktiviti seninya akan berjalan seperti biasa selepas ini. “Saya akan terbabit dengan satu sitkom terbitan Awesome TV selepas ini. Ada juga yang minta saya keluarkan single baharu tapi saya tiada bahan lagi. “Kontrak masih ada dengan Sony Music Entertainment. Ikutkan saya kena keluarkan album tapi sekarang trend buat single.
Katanya lagi “Saya pun tak kisah sebenarnya. Bukan nak pergi ke mana pun. Saya okey sahaja kerana Sony Music pun okey dengan saya. Kami dah lama bersama,” katanya. Amy berkata, tidak perlu untuknya pening kepala merancang sesuatu yang besar kerana tiada apa yang hendak dikejar. “Nak gah sangat pun nak pergi mana. Jadi saya pilih yang menggembirakan sahaja dan usahakan yang mana ada,” katanya yang mengakui tawaran menyanyi semakin berkurangan dan tidak sehebat dulu. Sumber, harian metro