Terkini kerajaan putuskan untuk hapuskan subsidi minyak masak, rupanya ini punca sebenar kerajaan buat macam ni

Subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) dimansuhkan bermula 1 Julai ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan. Beliau berkata, bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan. “Sebenarnya, program subsidi minyak masak tulen untuk botol ini hanyalah sementara, ketika pelaksanaan pada 2021 itu kita buat dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu Ogos, September dan Oktober.

“Bagaimanapun, ketika itu kerajaan berpendapat kita patut lanjutkan dan disebabkan itu ia dilaksanakan sehingga kini. Kini kerajaan merasakan tibalah masa untuk dimansuhkan supaya boleh memberi fokus bagaimana untuk membantu golongan yang memerlukan. “Kerajaan boleh memberikan bantuan yang lebih bersasar; bagaimanapun, segala bentuk bantuan ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog bersama pihak industri mengenai isu harga dan bekalan di kementeriannya, hari ini. Mengulas lanjut mengenai sesi dialog itu, Alexander berkata, ia dianjurkan bagi memberi penerangan kepada pemain industri dan persatuan pengguna terhadap inflasi yang berlaku di negara ini. Melalui sesi dialog berkenaan, terdapat pandangan dan cadangan yang diberikan antaranya untuk memperkasakan kesedaran pengguna dan mengubah cara hidup dalam menghadapi kenaikan harga. Beliau berkata, turut diajukan adalah isu kekurangan pekerja dalam sektor perdagangan pengedaran yang semakin kritikal dan kos operasi. Sumber, HMETRO ONLINE

Exit mobile version