Rupanya Ini Salah Satu Sikap Buruk Sebagai Jiran, Ini Antaranya

Umum memang sudah kita ketahui tinggal dalam kejiranan perlu mengambil berat antara satu sama lain. Hidup berjiran sudah pastinya menuntut kita menjaga ketenteraman dan keharmonian antara satu sama lain. Ini termasuklah bertolak ansur dan saling bantu-membantu apabila tinggal dalam kejiranan. Tapi siapa yang tak panas hati dengan sikap penghuni lain yang sering melakukan sesuatu yang menyakitkan hati, ibarat ‘jiran dari neraka’. Rasa nak marah, tapi kena sabar. Tapi awas jangan sampai jadi bom jangka, bila-bila masa boleh meletup dek perangai jiran yang sangat menjengkelkan. Berikut adalah sikap atau perangai ‘jiran dari neraka’ yang perlu kita elakkan

‘Membawang’ di media sosial

Mungkin ada perkara yang dilakukan oleh jiran membuatkan kita rasa marah atau sakit hati, tetapi bercakap mengenai jiran tersebut di media sosial menjadikan kita sebagai jiran yang tidak baik. Jangan hanya berani menjadi ‘keyboard warrior’, sekadar tahu mengecam dan menyindir jiran. Sebaik-baiknya selesaikan situasi atau konflik yang berlaku bersama jiran secara baik terlebih dahulu. Jika isu atau masalah masih tidak selesai, maka boleh mempertimbangkannya untuk membuat aduan kepada ketua mahupun pihak berkuasa setempat di kawasan kejiranan.

Tak peduli

Apabila nampak jiran melintas di rumah, pastinya lebih manis kita menegur mereka. Janganlah anggap jiran seperti orang asing dan buat tak tahu sahaja. Sampaikan pandang muka jiran pun tak mahu. Bukannya bergaduh, tapi boleh bermasam muka pula dengan jiran. Tindakan tersebut sebenarnya tidak manis dan kita seharusnya menghormati jiran kita. Jika tidak, ia hanya memperlihatkan diri kita sebagai jiran yang sombong dan tidak mengambil berat. Tak mahu bersembang, sekurang-kuranya melambai tangan atau tegur bertanya khabar secara ringkas atau sekadar memberikan salam. Sangat mudah, tapi amat bermakna.

Rajin bertegur apabila melintas di hadapan rumah jiran

Haiwan peliharaan ‘membuang’ di rumah jiran

Membiarkan haiwan peliharaan membuang air besar di halaman rumah jiran tidak seharusnya berlaku. Apatah lagi tidak datang untuk membersihkan mahupun mengutip najis meskipun di luar rumah. Tak kan jiran pula yang kena bersihkan najis haiwan peliharaan kita. Tindakan itu bukan sahaja biadab, malah menjijikkan kerana najis haiwan boleh membawa penyakit, merosakkan tanaman dan rumput selain berbau busuk. Sebagai pemilik haiwan, kita seharusnya bertanggungjawab untuk membersihkannya.

Biar daun bertaburan, sampah berlonggok

Mengotori kawasan rumah jiran dengan daun yang bertaburan dari pokok rumah kita juga merupakan tindakan yang tidak menyenangkan jiran. Sudah jadi hal pula jiran nak pergi menyapu daun-daun tu. Itu belum lagi kita longgokkan saja bungkusan plastik sampah di luar rumah jiran dengan alasan lori sampah boleh mengangkutnya sekali gus. Pastikan segala sampah sarap tidak menghalang laluan jiran atau memenuhi pagar rumahnya. Sentiasa dibersihkan, luar rumah pun tanggungjawab kita juga.

Sampah dibiarkan berlonggok di rumah jiran

Persenda kerana perbezaan

Mempersendakan jiran kerana perbezaan dari segi agama dan bangsa adalah keterlaluan. Adakah sikap itu disebabkan oleh perbezaan bahasa yang dituturkan atau makanan yang dimakan jiran adalah berbeza dengan apa yang kita amalkan. Sikap menilai orang lain kerana perbezaan adalah tidak wajar. Tidak menerima perbezaan itu bukan tiket untuk kita bersikap kurang ajar terhadap jiran kerana tidak menerima perbezaan itu. Kita seharusnya menghormati antara satu sama lain apabila hidup berjiran. Sumber, mstar

Exit mobile version