SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan kehadiran zuriat yang akan menjadi pelengkap kehidupan mereka. Bagi Norazlinda Tukiman, 33, dia dan suami Muhammad Zarif Nasharuddin, 30, turut diuji apabila perkahwinan yang dibina pada 2017 sepi tanpa kehadiran cahaya mata. Selepas empat tahun menanti, mereka akhirnya dikurniakan bayi perempuan comel yang diberi nama Cinta Ivy Merrisa pada tanggal 26 Oktober 2021.
Sebagai insan yang pernah bergelar Pejuang TTC (Trying To Conceive), jurusolek itu mahu berkongsi kisahnya yang tidak pernah berhenti berdoa sehingga satu persatu impiannya menjadi realiti. “Masa tahun 2017, saya pergi buat umrah buat pertama kali kerana masih belum jumpa jodoh, rasa macam dipersulitkan urusan jodoh. Sepanjang di tanah suci, saya minta doa agar dipermudahkan urusan cari jodoh. Alhamdulillah, lepas balik tu saya jumpa calon suami dan berkahwin pada tahun yang sama. “Selepas berkahwin, kami diuji tak dapat cahaya mata. Tiga tahun kami ikhtiar macam-macam tapi tak berjaya. Akhirnya, saya dan suami nekad untuk buat umrah dengan membawa satu hajat saja iaitu cahaya mata. Kami berangkat ke tanah suci pada awal tahun 2020, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sepanjang di sana, saya minta doa untuk dapat anak saja.
“Sewaktu tawaf pun saya usap perut dan minta doa untuk dapat anak. Pada masa sama saya dah reda kalau tiada rezeki sekali pun. Tapi Alhamdulillah, tak sampai setahun lepas balik umrah saya dah mengandung. Akhirnya bayi sulung kami dilahirkan pada tahun 2021. Sekarang dia dah berumur setahun tiga bulan,” ujarnya yang senang disapa Nora. Terlalu gembira dengan rezeki itu, Nora dan suami sekali lagi mengerjakan umrah pada Januari lalu yang mana perjalanan ke tanah suci buat kali ketiga itu turut disertainya anak perempuannya. “Sewaktu umrah kedua dulu, saya dah bernazar, andai kata saya diberi rezeki zuriat, saya akan bawa anak ke tanah suci. Lepas PKP suami ada ajak ke Bali tapi saya kata tak mahu selagi tak pergi buat umrah.
“Jadi baru-baru ini kami bertiga pergi buat umrah bersama. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan. Anak pun tak meragam, saya bawa dia ketika tawaf, saie dan sebagainya,” ujar Nora lagi. Menurut Nora, setiap satu doa yang dimakbulkan membuatkan dia berasa kerdil sebagai hamba yang mana setiap manusia perlu bergantung dan meletakkan semua harapan mereka kepada Allah yang satu. Nora juga berpesan kepada pejuang TTC di luar sana agar terus tabah menanti kehadiran zuriat yang mana ia juga perlu disusuli dengan usaha serta doa yang berterusan.
“Sebenarnya ada satu nasihat saja iaitu kita kena reda dan percaya dengan Allah. Kalau Allah kata hidup kita di dunia tak ada zuriat, kita kena reda saja. Mungkin kalau kita tak ada anak, kita lagi dekat dengan Allah. Ada sebab semuanya berlaku, jangan kita persoalkan. “Saya ni bukannya orang alim, tapi satu saja saya nak cakap, kita kena dekatkan diri dengan Allah. Saya sendiri dah alami benda tu. Adik-beradik saya semua bunting pelamin, saya seorang je susah dapat cahaya mata, sudah tentu rasa tercabar. Saya tanya diri, apa lagi saya kena buat? Saya cari-cari, rupanya saya kena dekatkan diri dengan Allah serta reda. Bagus juga saya lambat hamil, sebab ia mengajar saya untuk kuat. Tujuh bulan pertama hamil, saya tidur tepi tandas dan sinki. Muntah terkencing itu normal.
“Saya fikir balik, kalau awal kahwin saya dah hamil, mesti saya mengeluh dan sombong dengan ujian itu. Ada hikmah Allah bagi lambat,” ujarnya lagi. Mengimbas perjalanannya sebagai Pejuang TTC, Nora berkata dia juga tidak terlepas daripada soalan-soalan sensitif berhubung cahaya mata. “Pertanyaan orang sekeliling memang ada. Tapi bila kita dah reda, kita akan sabar dan boleh jawab soalan tu dengan tenang dan baik. Bukan manusia yang uji, tapi Allah yang uji kita. “Reda itu berat, bukan empat huruf kosong semata-mata. Bila kita serah jiwa raga kepada Allah, orang tanya apa pun kita pasti tenang saja,” ujarnya lagi. Mengenai perkembangan puteri sulungnya, Nora berkata dia bersyukur anaknya membesar sihat seperti kanak-kanak yang lain.
Malah, dia turut memasang impian untuk mengerjakan umrah sekali lagi sekiranya dia diberi rezeki cahaya mata kedua suatu hari nanti. Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.