ANAK patung mainan biasanya menjadi pilihan ibu bapa untuk diberikan kepada anak-anak sebagai teman sepermainan. Namun apa yang berlaku kepada Afiqah dan adiknya, 10 tahun lalu cukup membuatkan mereka serik dan trauma untuk menyimpan atau memiliki mainan itu sehingga kini. Ceritanya bermula sewaktu mereka baru pulang dari bercuti dengan membawa patung mainan yang dibeli ketika berkunjung di sebuah kampung terpencil di Narathiwat, Thailand. “Masa saya masih kecil, ada sekali tu keluarga balik kampung ke selatan Thailand. Sewaktu di kampung, kami semua diajak oleh makcik dan pakcik saya untuk berjalan-jalan di pasar.
“Di sana, terdapat banyak gerai yang menjual anak patung sampaikan rambang mata saya tengok! Saya dan adik perempuan sangat tertarik. “Saya terpandang satu patung besar yang pakai baju belang merah putih. Terus saya beritahu mak nak patung tu. Adik pula nak patung beruang kecil. Seboleh-boleh kami nak, jadi mak pun belikan juga anak-anak patung yang kami minta itu,” ujarnya memulakan bicara. Begitu teruja dengan mainan baharu itu, mereka pun bermain dengan patung tersebut tetapi mungkin kerana kepenatan berjalan di siang hari, malam itu mereka tidur lebih awal daripada biasa.
Melihat keadaan anak-anak yang sedang nyenyak tidur, si ibu meletakkan anak patung besar milik Afiqah di sisinya sebagai bantal peluk pada malam itu. Pada malam sama, ketika itulah kejadian menyeramkan menghantui Afiqah dan adiknya apabila mereka diganggu makhluk halus. “Kira-kira pukul 3 pagi, saya terjaga daripada tidur. Saya rasa sangat sakit di bahagian perut. Apabila buka mata, saya dapati anak patung saya yang memakai baju belang putih dan merah tu, sedang duduk di atas perut. “Setelah menyedari saya sudah terjaga, patung itu kemudiannya melambai-lambaikan tangannya dan memanggil nama saya berulang-ulang kali. Kakak… Kakak… kata patung tu dengan suara seperti berbisik.
“Saya merasa sangat takut hingga terpaku. Saya tak tahu nak buat apa, jadi saya memanggil adik yang berbaring di sebelah dengan menggoyangkan tubuhnya. Adik saya tak memberi respons. Dia tak terjaga pun. Saya jadi semakin cemas. Saya jadi tak pandai membaca ayat al-Quran masa tu,” katanya. Takut dengan keadaan itu, Afiqah menyelubungkan mukanya dengan selimut sambil terkumat-kamit membaca lafaz bismillah berulang-ulang kali kerana itu sahaja ayat yang terlintas di fikirannya.
Akhirnya, entah bagaimana dia terlelap semula. “Esok pagi, apabila bangun, saya dapati ada tanda di tangan. Saya tanya adik, kau tak dengar ke aku panggil semalam? “Adik beritahu dia dengar tapi apabila dia buka mata, dia nampak patung tu duduk atas saya. Patung tu siap pandang adik jadi dia pura-pura tidur sebab takut. “Meremang apabila saya dengar. Maknanya betullah apa yang saya nampak tu. Bukan sekadar bermimpi sebab adik saya pun nampak benda yang sama,” katanya. Pada malam berikutnya Afiqah dan si adik menangis-nangis kerana takut untuk tidur.
Malah, dia meminta agar patung tersebut dibkr namun rayuannya ditolak oleh si ibu. “Takut punya fasal, saya suruhlah mak bkr, tapi dia tak mahu sebab patung-patung tu mahal harganya. Tapi akhirnya mak bkr juga anak patung tersebut setelah melihat betapa takutnya kami. Sejak peristiwa tersebut, saya sangat tidak suka bahkan nak memandang anak patung besar pun saya jadi tak berani. Kalau terpandang cepat-cepat saya alihkan pandangan. Ada sedikit trauma yang masih bersisa.
“Berkenaan tanda yang muncul di tangan saya tu, orang setempat mengatakan itu adalah tanda gigitan hantu. Wallahualam. Yang pasti, sampai sekarang tanda itu masih ada di tangan saya,” menurutnya lagi. Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.