ISTERI kepada penyanyi era 80-an Datuk ND Lala iaitu Datin Fauziah Sarman meminta agar keluarga dan kenalannya tidak menunjukkan rasa simpati sekiranya mereka bertemu dengannya. Fauziah, 55, berkata, dia memohon agar mereka tidak menunjukkan reaksi wajah sedih sebaliknya memberikan senyuman kepadanya. Kata ibu kepada penyanyi Shila Amzah ini, dia akan berasa sedih sekiranya orang ramai menunjukkan rasa simpati tentang dugaan rumah tangga sedang dihadapi ketika ini. “Kepada keluarga, sahabat dan sesiapa di luar sana yang mengenali saya. Kalau terjumpa saya tolong jangan buat muka sedih.
“Kalau nampak muka sedih kalian, saya akan menangis. Sedekahkan saya senyuman paling manis. Saya akan senyum (kembali) kepada anda,” katanya. Fauziah berkongsi perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada pagi Khamis selain memuat naik foto perbandingan keluarganya menyambut Aidilfitri pada tahun lalu dan terkini. Menerusi gambar berkenaan, kelibat ND Lala tidak kelihatan sekali gus memberi gambaran penyanyi lagu Syair Cak Pong itu sudah dua tahun tidak meraikan lebaran bersama keluarga.
Dalam pada itu, Fauziah turut mendoakan agar keluarga mereka dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan dunia serta akhirat. “Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kesihatan, keselamatan, kesejahteraan, kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan kepada kami semua. Perbaikilah hubungan di antara kami dan mesrakanlah di antara hati-hati kami dan tunjuklah kami jalan yang membawa kebaikan di dunia,” ujarnya. Pada Rabu, anak perempuan Fauziah iaitu Syada Amzah meluahkan rasa sayu apabila sambutan Aidilfitri tahun ini tidak sempurna kerana hanya meraikannya berdua bersama ibunya. Syada bagaimanapun tetap berasa seronok apabila adik-beradiknya yang lain turut bersama menyambut lebaran bersama mereka pada hari raya keempat.
1 April lalu, Fauziah memuat naik foto seorang wanita termasuk mendedahkan namanya di Instagram mendakwa individu itu menganggu rumah tangganya. Menerusi kapsyen foto tersebut, Fauziah menulis ‘Penyondol.. Siti Munirah Abd Ghani’ namun pada hari berikutnya mengemas kini kepada ‘Isteri Datuk ND Lala… Datin Siti Munirah Abd Ghani’. Fauziah pada 3 April lalu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dipercayai bagi tujuan memfailkan perpisahan terhadap ND Lala namun dinafikan oleh Syada.
Untuk rekod, ND Lala mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 1989 dan pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata termasuk Nur Shahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25 tahun. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.