Bagaikan mimpi jadi realiti. Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menyangka apabila impian untuk berada satu pentas dengan Maestro tersohor dunia, David Foster menjadi kenyataan selepas diundang dalam konsert jelajahnya berjudul Hitman David Foster And Friends Asia 2023, pada Ogos depan. Menurut Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 44, dia pernah memanjatkan doa ketika kali pertama berkolabrasi dengan Foster dalam persembahan eksklusif pada tahun 2014 lalu. Jelasnya lagi, meskipun hanya menyampaikan dua buah lagu, namun dia menganggap itu sebagai satu peluang keemasan.
“Bagaikan mimpi jadi kenyataan apabila dijemput team Foster sebagai penyanyi jemputan dalam jelajah mereka di KL dan Singapura untuk Konsert Hitman David Foster And Friends Asia 2023. Walaupun tidak banyak lagu yang dinyanyikan, hanya dua lagu sahaja, tapi ini merupakan peluang keemasan yang saya tidak lepaskan. Ini bukan pengalaman pertama dengan Foster, sebab sebelum ini, sembilan tahun lepas kami pernah di private dinner membuat persembahan. Sembilan tahun lalu pernah impi untuk satu pentas, dan akhirnya menjadi kenyataan. Saya tak sangka doa saya ketika itu bukan kali yang pertama dan terakhir.
Pengalaman sepanjang menyanyi juga membuatkan saya lebih matang. Foster merupakan komposer yang sangat dikagumi oleh semua orang seluruh dunia, malah ramai penyanyi yang impikan untuk berada satu pentas dengannnya.” Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Konsert Hitman David Foster And Friends Asia 2023 yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu. Tambah bermakna lagi, pelantun lagu Purnama Merindu itu berkata pasukan Foster turut menjemputnya menjayakan persembahan pada keesokan hari di Singapura.
“Saya dipelawa beberapa kali membuat persembahan bersama Foster di Indonesia, tapi rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu. Ada hal yang tidak dapat dielakkan. Jadi saya tidak akan sia-siakan peluang ini ketika ramai penyanyi muda yang bagus ada tetapi pasukan pengurusan Foster tetap memanggil saya. Saya juga diundang untuk buat persembahan dalam konsert sama tetapi di Singapura pada 8 Ogos. Melanjutkan bicara, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata minat terhadap Foster bercambah ketika diperkenalkan oleh komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan ketika awal pembabitan dalam arena seni suara pada usianya 16 tahun.
Malah dari situ juga boleh mengagumi dan meminati Foster dan juga penyanyi, Celine Dion. “Saya rakam lagu nyanyian asal oleh Celine Dion, Color Of My Love dalam album kedua kerana itu lagu Foster yang paling saya minat. Ketika duduk di rumah di abang Adnan, arwah selalu mainkan video konsert Celine dan dari situ saya kenal penyanyi hebat itu dan Foster sebagai pencipta lagu yang hebat. Suara saya waktu itu nyaring dan kecil, jadi memang boleh bawa lagu itu. Ada banyak lagi lagu lain yang saya suka. Sebagai generasi yang membesar dengan lagu ciptaan Foster, walau sekejap peluang ini sangat bermakna.
Bercakap mengenai konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional, Siti berkata dia bakal membawakan sebuah lagu ciptaan komposer terbabit dan sebuah lagu popularnya. “Berdiri sepentas dengan Foster adalah impian setiap artis, saya pula apabila tengok senarai artis yang hebat, saya rasa sangat kecil. Saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, sebelum ini saya hanya dikenali di Asia tapi saya percaya saya belum terlambat untuk dikenali di pentas antarabangsa pada usia 44 tahun. “Muzik itu boleh menyatukan walau kita datang dari latar yang berbeza. Mengenai pemilihan lagu, ia masih lagi dalam perbincangan.
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali berkata, objektif utama konsert adalah untuk mengumpul dana membantu golongan pelajar B40 di universiti. “Penganjuran Konsert David Foster anda Friends termasuk penampilan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini bakal memberi manfaat buat anak-anak Malaysia Madani di Menara Gading yang kurang berkemampuan dari golongan asnaf untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus. Prihatin amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan terutama dalam memperkasakan pendidikan negara ke aras yang lebin tinggi di persada dunia.
“Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi turut menekankan konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’ dan bersyukur dengan penglibatan semua artis yang bersetuju untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hail jualan untuk tujuan kebajikan. Prihatin turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli tiket korporat sekaligus memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan. Tiket telah pun mula dijual bermula dengan harga RM288, RM388, RM488, RM688, RM788 dan RM988 secara online di laman sesawang di www.myticket.asia.
Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.